This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Bandar buruk Salak Tinggi

19/08/2008 Utusan Malaysia Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

SALAK TINGGI 18 Ogos - Masalah vandalisme dan premis kosong sering berlaku di mana-mana di kawasan perumahan mahupun di premis perniagaan.

Menurut Kamus Dewan edisi keempat, vandalisme bermaksud perbuatan yang membinasakan atau merosakkan harta benda awam atau persendirian. Ia bukan sahaja perbuatan yang merosakkan harta benda tetapi termasuk juga tindakan menconteng.

Premis kosong tidak terlepas daripada menjadi mangsa golongan yang suka merosakkan harta benda awam dan persendirian memandangkan kurangnya pemantauan pihak berwajib ditambah dengan keadaan yang sunyi.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lot rumah kedai di Bandar Baru Salak Tinggi mendapati deretan bangunan berkenaan berhampiran Taman Seroja sepi tanpa penjagaan dan bilangan premis perniagaan yang beroperasi boleh dibilang dengan jari.

Walaupun lokasinya sesuai dan strategik kerana terletak di tengah-tengah kawasan perumahan Taman Seroja, Taman Dahlia dan Taman Mawar, sayangnya hampir sebahagian besar daripada berpuluh-puluh lot kedai di kawasan ini masih kosong dan belum dibuka oleh pemiliknya.

Entah di mana silapnya lot rumah kedai yang dibuka sejak 1998 ini sepi dan tidak terurus.

Keadaannya yang terabai itu diburukkan lagi apabila banyak lot kedai di kawasan itu menjadi mangsa vandalisme kerana kebanyakan deretan kedai di kawasan itu tidak berpenghuni.

Tinjauan mendapati kebanyakan syiling lot-lot kedai itu telah dipecahkan manakala pintunya sudah rosak.

Masalah itu boleh menimbulkan pelbagai masalah termasuk menjadi sarang nyamuk, tikus dan juga penagih dadah.

Pemandangan sekitar kawasan itu pula dicemari dengan sampah-sarap yang boleh dilihat di merata-rata tempat, ditambah longkang yang tidak disenggara dengan baik yang mengundang pelbagai risiko kepada penduduk yang tinggal berhampiran.

Walaupun sebilangan kedai pernah dibuka, malangnya ditutup semula kerana pemilik atau penyewanya mengalami kerugian kerana kurang sambutan daripada penduduk sekitar.

Rata-rata penduduk di sekitar kawasan ini sedih dengan apa yang berlaku dan berharap pihak berkenaan berbuat sesuatu untuk mengubah keadaan.

Seorang peniaga membaiki barangan elektrik yang hanya mahu dikenali sebagai Vijay, 40, berkata keadaan tidak banyak berubah sejak dia berpindah ke kawasan ini tiga tahun yang lalu.

"Keadaan di sini tidak banyak berubah seperti ketika saya memulakan perniagaan.

"Ada kedai yang buka pun tak lama sebab tiada pelanggan," katanya.

Vijay berharap pihak bertanggungjawab berbuat sesuatu untuk menghidupkan semula kawasan ini dan tidak dibiarkan kosong tanpa penghuni.

"Lot kedai yang terbiar kosong tanpa aktiviti dijalankan mengundang pelbagai masalah dan membazir jika tidak dihidupkan semula.

"Kawasan ini juga kini sering dijadikan tempat untuk mat rempit berlumba dan ini amat mengganggu penduduk-penduduk di sini," tambah Vijay.

Seorang penduduk, Haniza Mohd. Ali, 38, juga berharap Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) prihatin terhadap masalah sampah di kawasan itu.

"Longgokan sampah yang berada segenap sudut menyebabkan kawsan ini nampak tidak terurus dan kotor," katanya.

Tambahnya lagi, kebanyakan deretan lot kedai telah dirosakkan serta diconteng dengan perkataan yang tidak sopan oleh golongan yang dianggapnya tidak bertamadun.

"Kawasan ini dipenuhi dengan sampah dan MPSepang pula jarang datang ke tempat ini sehingga menjadikan kawasan ini terpinggir dan tidak terurus.

"Kemunculan pasar raya besar di Nilai seperti Giant juga menyebabkan kawasan ini kurang popular dan semakin terpinggir," ujarnya lagi.

Tambahnya, kebanyakan penduduk di sekitar kawasan ini bekerja di Putrajaya dan mereka lebih gemar membeli barangan dapur di pusat membeli belah Alamanda.

"Memandangkan Alamanda berhampiran dengan tempat kerja, lebih mudah bagi mereka untuk mendapatkan barang keperluan rumah di situ.

"Saya harap MPSepang dan pemaju memikul tanggungjawab dengan mencari jalan dan inisiatif untuk memajukan kawasan ini. Jangan dibiarkan kedai-kedai di sini kosong kerana ia merupakan satu pembaziran," ujarnya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.