43,000 rumah terbengkalai akan
disiapkan
29/08/2008 Utusan Malaysia
MUAR 28 Ogos - Kerajaan memberi jaminan akan membantu menyiapkan hampir
43,000 unit rumah yang terbengkalai di seluruh negara dengan menggantikan
para pemaju yang gagal melaksanakan projek itu dengan pemaju baru.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata,
beliau yakin usaha melantik pemaju baru bagi projek perumahan terbengkalai
itu dapat mengurangkan bilangan rumah yang masih belum dapat diduduki oleh
rakyat di negara ini.
Bagaimanapun, katanya, bilangan rumah terbengkalai di negara ini iaitu
hampir 43,000 unit hanya mewakili dua peratus daripada keseluruhan 2.7 juta
unit perumahan yang telah siap dibina dan diduduki dalam tempoh 27 tahun
lalu.
''Kementerian tidak menganggap peratusan rumah terbengkalai itu sebagai
kecil kerana kita tahu, 43,000 penduduk yang tidak dapat menduduki rumah itu
mempunyai hak ke atas kediaman mereka yang dibeli.
"Untuk itu, kerajaan akan cuba membantu menyelesaikan masalah rumah
terbengkalai di negara ini bagi memastikan rakyat mendapat semula hak mereka.
''Salah satu kaedah yang akan digunakan adalah menggantikan pemaju perumahan
yang sudah tidak wujud atau muflis dengan pemaju baru,'' katanya.
Beliau yang ditemui selepas menghadiri majlis sambutan ulang tahun Kelab
Sukan dan Sosial Seri Ledang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chi Ming 1
Tangkak di sini malam tadi.
Ka Chuan mengakui antara masalah yang dikenal pasti sehingga menyebabkan
berlaku projek perumahan terbengkalai itu adalah pemaju muflis, krisis
ekonomi yang berlaku pada 1997 serta beberapa masalah teknikal sehingga
menggagalkan pemilik rumah layak menduduki kediaman mereka.
Beliau berharap, pelantikan pemaju baru itu sekurang-kurangnya mampu
menyiapkan semula hampir separuh daripada bilangan 43,000 unit rumah yang
terbengkalai itu.
|