This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Rumah terbengkalai sarang penagih lepas gian

24/07/2008 Utusan Malaysia  Oleh NORHUDA SULIEMAN

MUAR 23 Julai - Penduduk Tanjung Agas, di sini bimbang dengan kewujudan sembilan buah rumah di kawasan perumahan di kawasan itu yang terbengkalai dan kini menjadi sarang penagih dadah untuk melepaskan gian.

Keadaan itu membuatkan penduduk di taman berkenaan sentiasa dilanda resah kerana khuatir perumahan teres itu akan terus menjadi sarang penyakit sosial.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan tersebut mendapati, rumah terbengkalai sejak 10 tahun lalu itu terbiar ditumbuhi semak samun hingga menjadi lokasi penagih dadah manakala keadaan dalam rumah tersebut pula dipenuhi dengan sampah sarap dan peralatan penagihan dadah seperti kuali.

Rata-rata penduduk berpendapat, projek perumahan terbengkalai itu sepatutnya segera disenggara semula supaya bersih daripada sebarang kegiatan yang tidak sihat.

Hamdan Hassan, 48, berkata, keadaan itu memberi kesan kepada penduduk sekitar terutamanya dari sudut keselamatan.

Katanya, antara kegiatan yang dibimbangkan ialah mereka menceroboh ke dalam rumah berkenaan dan melakukan kegiatan tidak bermoral seperti mengambil minuman keras dan menghisap dadah.

Menurutnya, kewujudan penagih dadah di kawasan rumah terbiar itu sedikit sebanyak memberi pengaruh buruk kepada golongan remaja di sekitar kawasan tersebut terutamanya pelajar yang masih bersekolah.

"Sejak rumah tersebut dibiarkan terbengkalai, ia menjadi lokasi bagi beberapa penagih untuk melepaskan gian.

"Rumah tersebut juga menjadi tempat mat rempit melepak dan melakukan perbuatan tidak bermoral," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambah Hamdan, keadaan tersebut membimbangkan dan perlu dibendung kerana rumah itu bukan sahaja berada di kawasan perumahan penduduk, malah ia juga terletak berdekatan dengan surau.

Bukan itu sahaja, katanya, wabak demam denggi juga boleh merebak memandangkan perumahan tersebut dibiarkan bersemak dan menjadi tempat takungan air.

Penduduk lain, Aida Mohd. Shah, 49, memberitahu, pelbagai kejadian tidak diingini seperti kecurian berlaku di kawasan tersebut yang didakwa mungkin berpunca daripada kegiatan tidak sihat yang bersarang di rumah terbengkalai itu.

Katanya, dia tidak menolak kemungkinan mereka yang melakukan perbuatan tersebut juga adalah di kalangan mereka yang gemar melepak di rumah terbiar itu.

"Kerap berlaku kejadian pecah rumah dan kehilangan barang di sini.

"Saya sendiri pernah melihat kelibat seorang lelaki atas bumbung jiran saya tetapi lari setelah saya menjerit," ujarnya.

Dalam pada itu, dia berpendapat, rumah tersebut patut disenggarakan segera bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Katanya, sekiranya tiada tindakan lanjut dilakukan, rumah terbengkalai itu dan kawasan tersebut akan terus menjadi tempat 'persinggahan' mereka yang tidak bertanggungjawab.

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.