This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Rumah mahal, kemudahan daif

31/07/2008  Utusan Malaysia Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI

BANGI 30 Julai - Memiliki rumah bernilai jutaan ringgit, ditambah pula dalam suasana yang aman dan damai pasti menjadi impian semua orang.

Namun, bagi kira-kira 15 pemilik rumah di Banyan Close, Bandar Bukit Mahkota, rumah jutaan ringgit yang mereka beli disifatkan lebih daif daripada rumah setinggan.

Ini kerana mereka tiada kemudahan bekalan air sejak lima bulan lalu dan terpaksa bergantung kepada air yang dipam ke rumah mereka oleh pemaju.

Tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan perumahan tersebut mendapati, rumah di situ yang berkonsep moden memang cantik tetapi tiada bekalan air yang sempurna.

Presiden Persatuan Penduduk Banyan Close Bandar Bukit Mahkota, Habibah Mckenzie, 53, berkata, sejak mereka berpindah masuk ke kediaman tersebut pada April lalu, mereka hanya dibekalkan dengan air yang dipam ke rumah oleh pemaju sahaja.

Menurutnya, setiap hari penduduk terpaksa membuat panggilan kepada pemaju untuk mendapatkan bekalan air yang terhad jumlahnya serta kadang kala lewat dihantar.

Jelasnya, keadaan menjadi bertambah rumit apabila waktu malam dan hari cuti kerana pihak pemaju yang menguruskan bekalan air tersebut tidak bekerja.

"Bayangkanlah kami terpaksa membeli air untuk kegunaan harian sekiranya kami kehabisan simpanan air pada waktu pekerja-pekerja tersebut cuti.

"Kadang-kadang kami berasa sedih dan terkilan dengan sikap pemaju yang seakan lepas tangan terhadap tanggungjawab mereka menyediakan kemudahan tersebut kepada penduduk.

"Setiap kali kami adukan masalah ini, mereka hanya memberi janji dan janji tersebut hanya tinggal janji sehingga kini," ujarnya kesal.

Tambahnya, sehingga kini penduduk masih tidak mengetahui sebab mereka masih tidak mendapat bekalan air daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Jelasnya, sebelum ini, pemaju memaklumkan bahawa masalah tersebut berlaku akibat pengurusan Syabas tidak meluluskan permohonan mendapatkan kemudahan bekalan air.

"Kami tidak tahu siapa yang betul kerana setiap kali kami mengajukan tentang permasalahan tersebut, pemaju menuding jari kepada Syabas dan apabila diajukan kepada Syabas, pemaju yang dipersalahkan.

"Jadi, yang menjadi mangsa adalah penduduk yang terpaksa menanggung sendiri segala masalah dan kepayahan," katanya.

Selain masalah tiada bekalan air, penduduk di kawasan tersebut turut tertekan dengan sistem pengurusan sampah yang tidak sistematik.

Penduduk mendakwa, jadual kutipan sampah yang tidak menentu menyebabkan banyak sampah yang berlonggok di kawasan hadapan rumah mereka.

Dakwa mereka lagi, apa yang mengecewakan ialah pihak pemaju tidak memaklumkan tentang kewujudan penduduk di kawasan terbabit menyebabkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) tidak datang untuk mengutip sampah berkenaan.

Seorang penduduk, Datin Normila Abdullah, 42, memberitahu, sampah-sampah berkenaan tidak dikutip sehingga penduduk terpaksa menelefon sendiri kontraktor sampah supaya mengutip sampah mereka.

Jelasnya, dia kecewa dengan sikap pemaju yang tidak prihatin dengan kewujudan penduduk di kawasan tersebut yang semakin ramai dan memerlukan pengurusan sampah yang efektif.

"Bayangkanlah keadaan sampah di kawasan perumahan tersebut tidak dikutip selama beberapa hari dan memenuhi ruang hadapan rumah kami.

"Apabila kami menelefon meminta sampah berkenaan dikutip, hanya rumah kami sahajalah yang akan dikutip manakala rumah penduduk lain tidak akan dikutip.

"Saya tidak faham bagaimana perkara ini boleh berlaku sedangkan kami membayar segala yuran penyelenggaraan," tegasnya.

Tambahnya, masalah sistem keselamatan yang kurang dititikberatkan juga menghantui penduduk tersebut.

Katanya, setiap rumah dikehendaki membayar yuran untuk pengawal sebanyak RM1,200 setahun tetapi sistem keselamatan yang diberikan seperti melepaskan batuk di tangga sahaja.

Jelasnya, sistem keselamatan kawasan perumahan tersebut kelihatan longgar kerana pengawal membenarkan sesiapa sahaja masuk ke kawasan tersebut tanpa meninggalkan sebarang dokumen.

"Banyak kali saya bertemu orang luar masuk ke kawasan perumahan ini untuk menampal poster-poster di dinding-dinding pagar tanpa kebenaran dan tiada tindakan diambil terhadap orang luar itu.

"Pernah juga satu ketika, sekawan lembu masuk ke kawasan perumahan ini dan kami pula yang terpaksa menghalau lembu-lembu itu," jelasnya.

Turut menjadi tanda tanya adalah talian telefon tetap yang sehingga kini masih belum dapat disambungkan walaupun kemudahan infrastruktur tersebut telah disediakan.

Menurut penduduk, perkara tersebut telah dibawa kepada pengetahuan pemaju, namun pemaju mendakwa pihak Telekom enggan memberikan talian tersebut memandangkan tiada infrastruktur yang lengkap.

Sementara itu, Habibah berkata, dia berasa agak pelik bagaimana pemaju boleh mendapatkan Sijil Layak Menduduki (CF) walaupun banyak kemudahan asas di sini masih belum lengkap.

Tambahnya, sepatutnya pemaju memaklumkan kepada penduduk dengan mengadakan perbincangan untuk menyelesaikan masalah terbabit namun mereka hanya mendiamkan diri.

"Kalau boleh kami tidak mahu bertengkar dengan pemaju, sebaliknya mahu berbincang secara profesional tentang cara untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

"Justeru itu, kami telah memberi kata putus iaitu tarikh akhir pemaju menyediakan bekalan air tersebut adalah pada Khamis ini dan dalam masa dua minggu berikutnya, masalah-masalah lain harus diselesaikan," ujarnya.

Menurutnya, tindakan tersebut terpaksa dibuat kerana penduduk sudah memberikan masa yang lebih dari cukup untuk pemaju menyelesaikan segala masalah itu.

"Jika perkara tersebut tidak dapat diselesaikan dalam tempoh yang diberikan, kami akan mengambil tindakan tegas dengan menyaman pemaju di mahkamah," tegasnya.

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.