This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pemaju jamin masalah selesai dalam masa terdekat

31/07/2008 Utusan Malaysia


BANGI 30 Julai - Pemaju perumahan Banyan Close, Bandar Bukit Mahkota dekat sini memberi jaminan akan menyelesaikan masalah kemudahan bekalan air kepada penduduk dalam masa yang terdekat.

Jurucakap pemaju tersebut yang enggan namanya disiar berkata, keputusan tersebut dicapai selepas mengadakan perbincangan bersama-sama penduduk pada Selasa lalu.

Menurutnya, pihaknya akan menyelesaikan masalah terbabit dengan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dengan segera bagi mendapatkan bekalan air bagi kawasan perumahan tersebut.

"Sebelum ini, kami pernah membuat permohonan kepada Syabas namun telah ditolak memandangkan terdapat beberapa kesilapan, jadi kami harap kali ini masalah tersebut dapat diselesaikan.

"Perbincangan bersama-sama penduduk berjalan dengan baik dan kami dapat menyelesaikan masalah tersebut tanpa berlaku pertengkaran.

"Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada penduduk kerana mengadakan perbincangan tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, masalah-masalah kemudahan seperti pengurusan sampah, talian telefon dan masalah sistem keselamatan akan diselesaikan dalam masa dua minggu lagi.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Abdul Halem Mat Som berkata, punca penduduk tidak memperoleh bekalan air adalah kerana kegagalan pemaju menyediakan dokumen-dokumen yang lengkap dan menepati keperluan Syabas.

Menurutnya, Syabas memang telah menerima permohonan daripada pihak pemaju untuk pengambilalihan sistem paip air luaran dan pengeluaran meter individu pada awal bulan April lalu.

Bagaimanapun, ujarnya, dokumen-dokumen yang dihantar oleh pihak pemaju tidak lengkap.

"Apabila sesuatu permohonan yang tidak lengkap, pihak kami tidak boleh memproses permohonan tersebut.

"Justeru itu, pada 16 April lalu, Syabas telah menjalankan lawatan tapak ke kawasan perumahan tersebut serta mengembalikan semula permohonan tersebut kerana terdapat beberapa ulasan dibuat yang memerlukan tindakan oleh pihak pemaju," katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Halem berkata, Syabas hanya akan dapat mengeluarkan meter selepas kolam yang membekalkan air ke kawasan perumahan tersebut diambil alih sepenuhnya oleh Syabas.

Ujarnya, kolam servis yang membekalkan air ke kawasan perumahan terlibat hanya diambil alih oleh pihak Syabas pada 1 Julai lalu.

Oleh itu, jelasnya, Syabas tidak dapat memproses pengeluaran meter individu lebih awal memandangkan kolam air yang terlibat hanya diambil alih oleh Syabas baru-baru ini sahaja.

Sehubungan itu, katanya, pihak pemaju diminta agar segera menghubungi Syabas dan menyegerakan penghantaran borang-borang yang berkaitan untuk proses pengeluaran meter individu tersebut.

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.