SPNB alih projek terbengkalai
Taman Sejahtera Indah
26/06/2008 Utusan Online
SEBERANG JAYA 25 Jun - Setelah hampir lapan tahun terbengkalai, akhirnya
projek perumahan Taman Sejahtera Indah di Telok Air Tawar di sini berjaya
disiapkan setelah ia diambil alih oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Tanpa mengenakan sebarang bayaran tambahan kepada pembeli, projek tersebut
yang telah dibaik pulih oleh SPNB sejak awal tahun ini berjaya disiapkan
dengan kos RM75 juta.
SPNB diperbadankan pada 21 Ogos 1997 lalu dan merupakan syarikat milik penuh
Menteri Kewangan yang ditubuhkan untuk menyediakan Rumah Mampu Milik yang
berkualiti kepada semua keluarga di seluruh Malaysia selaras dengan Objektif
Perumahan Negara.
Menurut Pengarah Urusan SPNB, Datuk Mohd. Amin Mohd. Salleh, SPNB telah
dilantik oleh Kementerian Kewangan untuk membaik pulih projek berkenaan
setelah sekian lama ia terbengkalai.
''Ketika mengambilalihnya, tahap kesiapan pada projek itu adalah antara 0-65
peratus," katanya di sini baru-baru ini.
Namun kini, katanya, sebanyak 226 unit rumah teres setingkat dan dua tingkat
serta 82 unit rumah pangsapuri di taman itu boleh diduduki oleh pembelinya.
Tambahnya, setelah memperolehi Sijil Kelayakan Menduduki (SKM) daripada
Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) pada 12 Mei lalu, pembeli rumah di
Taman Sejahtera itu telah diberikan kunci.
''Bagaimanapun, masih ada lagi pemilik rumah yang masih belum dikenal pasti
dan gagal dihubungi bagi mendapatkan maklumat mengenai rumah berkenaan.
''Justeru SPNB berharap supaya pembeli rumah Taman Sejahtera Indah boleh
menemui kami dengan membawa semua dokumen yang berkaitan sebagai bukti
pemilikan.
''Mereka boleh menghubungi kami dengan mengunjungi pejabat cawangan SPNB
Pulau Pinang di Tingkat 5, Wisma UMNO, Lorong Bagan Luar 2 atau menerusi
telefon di talian 04-330 4679," katanya.
Selain Taman Sejahtera Indah, ujarnya, SPNB juga telah berjaya menyerahkan
kunci kepada 401 keluarga mangsa tsunami di Penaga, Seberang Perai Utara
yang selama ini terpaksa bersabar menunggu rumah mereka siap.
Rumah tsunami itu, tambahnya telah dibangunkan di kawasan seluas 27.44
hektar merangkumi 558 unit rumah banglo berkonsepkan Rumah Mesra Rakyat
dengan keluasan 1000 kaki persegi.
''Ia terdiri daripada tiga bilik tidur dan dua bilik mandi dengan fasa
pertama meliputi 461 unit rumah beserta 26 unit kedai setingkat, surau,
taman permainan dan taman rekreasi," katanya.
Mohd. Amin berkata, untuk tujuan pembinaannya, sejumlah RM40 juta telah
diperuntukkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan setiap rumah
berharga RM45,000.
Pemilik rumah, kata beliau hanya perlu membayar RM50 sebulan untuk tempoh 25
tahun manakala bagi unit kedai pula, harganya ialah RM85,000 seunit.
''Projek ini mula dibangunkan pada November 2005 dan telah siap
keseluruhannya pada Januari 2008.
''Pembangunan projek ini terpaksa dilakukan secara berperingkat disebabkan
beberapa masalah termasuk setinggan yang telah menghalang kelancaran
pembinaan," katanya.
Ditanya mengenai keseluruhan projek yang telah dibaik pulih oleh SPNB di
Pulau Pinang, beliau memberitahu, setakat ini lapan projek perumahan
terbengkalai melibatkan 3,664 unit rumah telah dibaik pulih.
Selain itu, katanya enam projek melibatkan 2,035 unit dengan kos sebanyak
RM127 juta sedang dibaik pulih oleh SPNB manakala 12 buah projek terdiri
daripada 1,847 unit rumah juga akan dibaik pulih tidak lama lagi.
|