This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Penduduk resah kerja pembetungan terbengkalai

05/06/2008 Berita Harian

SEREMBAN: Penduduk Taman Marida Senawang Fasa 2, dekat sini, meminta kontraktor yang melaksanakan kerja membina saluran pembetungan di kawasan itu menyiapkan kerja berkenaan yang terbengkalai hampir setahun lalu hingga menyulitkan urusan harian mereka.

Penduduk mendakwa sejak projek itu terbengkalai, lalu lintas di kawasan itu terjejas setiap hari kerana peralatan kerja yang ditinggalkan di situ mengganggu lalu lintas dan keadaan lebih buruk pada setiap kali hari persekolahan apabila banyak kenderaan termasuk bas sekolah yang melalui jalan itu.

Jurucakap penduduk taman berkenaan, Hussin Abu Hassan, 63, berkata jalan itu yang sudah mengalami kerosakan akibat kerja menggali saluran itu masih tidak diturap dan berdebu menyebabkan penduduk terutama kanak-kanak terdedah kepada penyakit.

Katanya, pihaknya hairan kerana sudah setahun tiada sebarang kerja dilakukan kontraktor terbabit manakala peralatan kerja dibiarkan begitu saja tanpa diusik.

"Kontraktor itu ada memaklumkan kepada saya sebelum ini melalui sepucuk surat bahawa kerja berkenaan akan diselesaikan secepat mungkin dan jalan itu akan diturap pada atau selewat-lewatnya awal tahun ini tetapi sampai sekarang tiada perubahan dan jalan itu masih tidak diperbaiki.

"Akibat daripada keadaan itu ia bukan saja menimbulkan kesulitan kepada penduduk terutama kediaman yang berhampiran dengan kawasan itu dan mereka yang melalui jalan itu, malah keseluruhan jalan yang sudah pecah dan berlopak itu menjejaskan keselesaan penduduk," katanya.

Hussin berkata, lebih 200 orang penduduk menggunakan jalan itu setiap hari dan keadaan lebih rumit ketika musim hujan apabila air bertakung di jalan berlopak itu.

Beliau yang juga Imam 2 Masjid Jamek Taman Marida berkata, pihaknya menggesa kontraktor terbabit dapat menyiapkan projek itu dengan segera demi kepentingan penduduk dan orang ramai.

"Saya juga berharap kerosakan yang berlaku pada struktur lantai simen di luar rumah sewaktu kerja-kerja mengorek dilakukan sebelum ini dapat dinilai dan dibuat ganti rugi," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.