Pemilik rumah berhak mendapat
kediaman selesa – MB
20/06/2008 Utusan Online
REMBAU 19 Jun – Kerajaan negeri menjelaskan kelewatan memperoleh Sijil Layak
Menduduki (CFO) disebabkan adanya sistem pembentungan yang dibina tanpa
kelulusan Jabatan Pembentungan oleh pemaju di Taman Rembau Utama di sini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, selepas ia dapat
diselesaikan oleh kontraktor yang dilantik kerajaan negeri, barulah kini CFO
berkenaan dapat diberikan kepada penduduk terbabit.
‘‘Kita melakukan tindakan itu bagi memastikan rumah yang diduduki oleh
rakyat berada dalam keadaan yang baik dan selamat.
‘‘Kita tidak berkompromi dengan sebarang aspek yang boleh memberi kesan
kepada pembeli. Biarlah lewat sedikit asalkan pembeli dapat merasa selesa
apabila melangkah ke rumah baru,” kata beliau di sini semalam.
Mohamad yang menyampaikan CFO kepada penduduk fasa dua di Dewan Merdeka di
sini juga berharap mereka yang mendiami rumah berkenaan dapat hidup dengan
selesa dan menjaga rumah tersebut sebagai harta yang bernilai.
‘‘Kerajaan sentiasa memberikan apa juga bentuk bantuan kepada rakyat. Kita
mahu memastikan rakyat hidup sejahtera dan tidak terabai kerana sikap pemaju
yang sambil lewa ini.
‘‘Kita mahu memastikan rakyat menikmati apa yang sepatutnya mereka peroleh
dan sebab itulah kerajaan bersama-sama memastikan apa yang gagal
dilaksanakan oleh pemaju terutama dalam aspek pembentungan di taman
berkenaan, disiapkan oleh kontraktor lain agar CFO dapat diberikan kepada
mereka,” jelasnya.
Pada majlis yang berlangsung di tempat yang sama juga, Mohamad turut
menyampaikan surat hak milik rumah rakyat Rembau kepada 59 pemilik dari
empat buah rumah rakyat di sini.
‘‘Ini meliputi Rumah Rakyat Chengkau iaitu sebanyak 22 rumah, Rumah Rakyat
Sungai Layang 1 sebanyak 32 rumah, Rumah Rakyat Chembong 1, berjumlah empat
dan Rumah Rakyat Pedas, sebuah,” katanya.
Beliau juga menjelaskan, kerajaan juga tidak berkompromi dalam soal
menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukannya serta layak.
‘‘Sebab itulah saya telah meminta semua pihak, ketua kampung, Jawatankuasa
Kebajikan dan Keselamatan Kampung (JKKK) melihat keluarga yang susah ini.
Saya tidak mahu lihat lagi ada keciciran dalam soal ini,” katanya.
Mohamad juga menyampaikan bantuan Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB)
bagi daerah Rembau yang berjumlah RM62,258 keseluruhannya melibatkan bantuan
sewa rumah (RM19,008), bantuan kemasukan ke sekolah (RM12,200) dan bantuan
kemasukan ke IPT, RM4,000.
Bantuan lain termasuklah kos pengangkutan ke tempat kerja (RM550), bantuan
kos jagaan kanak-kanak (RM2,200), bantuan kos pengangkutan ke sekolah,
RM15,300 dan bantuan ihsan, RM9,000.
Justeru kata beliau, adalah penting bagi agensi kerajaan untuk melakukan
promosi jenis dan bentuk bantuan yang disediakan oleh kerajaan ini supaya
masyarakat tahu bahawa mereka sentiasa dihargai dan diberi perhatian.
‘‘Kalau maklumat ini tidak sampai, mereka akan terus membuat pelbagai
andaian termasuklah kononnya kerajaan tidak ambil tahu masalah yang dihadapi
mereka. Kita kena cari apa masalah mereka dan bukan menunggu mereka datang
memaklumkan masalah yang dihadapi kepada kita,” ujarnya.
|