10 tahun tunggu CFO
20/06/2008 Utusan Online Oleh Ainol Amriz Ismail
REMBAU 19 Jun – Benarlah kata peribahasa, rumah sudah siap, pahat masih
berbunyi.Inilah yang dihadapi oleh penduduk Taman Rembau Utama di sini yang
terpaksa mendiami rumah tanpa Sijil Layak Menduduki (CFO) selepas pemaju
gagal menyediakan infrastruktur yang disyaratkan.
Namun begitu sengsara lebih 10 tahun yang dihadapi penduduk di situ,
khususnya yang mendiami fasa kedua berakhir baru-baru ini apabila kerajaan
negeri meluluskan CFO masing-masing selepas membantu menyediakan
infrastruktur yang ditinggalkan pemaju.
Seorang penduduk, Roslan Shahadan, 49, berkata, mereka yang menerima CFO itu
telah menetap di fasa dua taman berkenaan, manakala penduduk di fasa satu
telah menerima CFO masing-masing pada November 2001.
‘‘Tentulah kami merasa gembira dengan pemberian CFO ini kerana telah lama
menunggu. Sekarang barulah kami merasa selamat mendiami sebuah rumah yang
menjamin keselamatan kami.
‘‘Sudah lama penduduk di sini memperjuangkan hak mendapatkan CFO ini dan
akhirnya selepas bantuan yang diberikan oleh kerajaan dalam menyelesaikan
kemelut ini, masalah ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya selepas
menerima CFO berkenaan daripada Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan di
sini semalam.
Projek perumahan seluas kira-kira 10 hektar ini mempunyai 365 unit buah
rumah, iaitu fasa pertama 166 yang terdiri daripada rumah teres kos rendah,
rumah berkelompok kos rendah dan sederhana.
Manakala fasa dua menempatkan 199 unit buah rumah teres satu tingkat, rumah
berkelompok kos sederhana, rumah berkembar dan rumah berkembar satu tingkat.
Seorang lagi penduduk, Adnan Abdul Rahman, 43, berkata, dia telah menduduki
taman perumahan berkenaan sejak 1997 dan dalam tempoh tersebut ia langsung
tiada CFO kerana kegagalan pemaju menyediakan infrastruktur.
‘‘Saya merasakan ini merupakan satu kejayaan kepada penduduk kerana akhirnya
dapat menggenggam CFO masing-masing yang sudah lama diidamkan penduduk.
‘‘Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana prihatin
terhadap masalah rakyat sehingga berjaya memastikan CFO ini dapat
dikeluarkan kepada penduduk,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Masalah CFO Rembau Utama,
Nazri Abu Samah, 42, menjelaskan, pihaknya dimaklumkan CFO tidak dapat
dikeluarkan sebelum ini kerana beberapa masalah berpunca daripada kegagalan
pemaju.
‘‘Antara masalah itu adalah sistem pembentungan yang dibina tanpa kelulusan
Jabatan Pembentungan, struktur bangunan tidak lengkap dan sebagainya.
‘‘Pemberian CFO ini merupakan satu rahmat kepada penduduk yang tidak kenal
erti jemu memperjuangkan nasib untuk mendapatkan CFO rumah masing-masing,”
katanya.
Nazri mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana membantu menyelesaikan
kemelut yang dihadapi penduduk di situ sejak sekian lama. |