This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Warga kota mahu projek diteruskan

21/05/2008 Utusan Online


KUALA LUMPUR 20 Mei - Projek pembangunan Plaza Rakyat berhampiran Hentian Pudu Raya di sini telah menimbulkan pelbagai persoalan kepada orang ramai memandangkan ia terbengkalai sejak lebih 10 tahun.

Rata-rata pengguna yang ditemui menyarankan agar projek tersebut diteruskan secepat mungkin untuk kebaikan semua pihak terutamanya untuk kemudahan pengguna.

Seorang pemandu teksi, R. Ramasami, yang sudah 19 tahun menjadi pemandu teksi di sini berkata, beliau sering melihat beberapa orang awam memasuki kawasan itu tetapi tidak pasti apa sebenarnya yang dilakukan oleh mereka.

"Jika mereka masuk untuk melakukan kerja-kerja pembinaan, kenapa sehingga hari ini bangunan itu masih belum siap dan terbiar.

"Setakat hari ini saya hanya melihat penagih dadah dan orang awam berkeliaran keluar masuk ke kawasan tersebut dan tiada tindakan yang diambil.

"Jika masih tiada apa tindakan dibuat, saya bimbang bangunan itu akan menjadi pusat mereka melakukan aktiviti mereka," katanya.

Tambahnya lagi, sekiranya projek ini siap, bukan sahaja dapat memudahkan pengurusan bas, malah operasi teksi juga akan berjalan dengan lancar.

Menurut seorang lagi pemandu teksi, Zainal Zakaria, 47, bangunan ini tidak sepatutnya dibiarkan terbengkalai kerana memberi pandangan negatif kepada pelancong asing.

Tambahnya, ia perlu diteruskan namun memerlukan perbelanjaan yang besar memandangkan projek tersebut telah lama terbengkalai.

"Projek terbengkalai ini mungkin berpunca daripada masalah kewangan dan juga pihak yang bertanggungjawab menguruskannya ditambah dengan masalah politik dan konflik yang melanda pihak pemaju dan kontraktor.

"Namun, jika projek ini hanya beroperasi separuh jalan, bukan sahaja mendatangkan masalah kepada pengusaha teksi dan bas tetapi turut menyebabkan pengguna terperangkap di dalam kesesakan yang teruk," katanya.

Bagi Lai Sam, 70, projek ini mula berhadapan dengan masalah ketika krisis ekonomi melanda negara pada 1999 namun berlanjutan sehingga kini.

"Jalan utama yang sedia ada tidak berapa luas, kemudian bas diletakan di tepi-tepi jalan menyebabkan jalan menjadi semakin sempit dan kesesakan jalan selalu berlaku sehingga menyusahkan pengguna yang melalui jalan ini.

"Jika bangunan ini boleh beroperasi, ia boleh mengurangkan beban pengguna kerana semua bas dan teksi akan di tempatkan di bangunan itu dan dapat mengurangkan kesesakan jalan yang sekian lama dilalui penduduk," jelasnya.

Pengguna yang ditemui berharap agar masalah ini akan segera menemui jalan penyelesaian supaya tidak membebankan semua pihak terutamanya pengguna.

Pihak bertanggungjawab termasuk pemaju dan kontraktor seharusnya peka dengan masalah ini dan perlu mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan projek pembinaan bangunan Plaza Rakyat ini dapat diteruskan dan masalah kesesakan jalan yang dilalui oleh orang ramai yang melalui jalan ini sejak sepuluh tahun yang lalu akan berakhir.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.