This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

TPPT pulih 74 projek rumah terbengkalai

06/05/2008 Utusan Online


KUALA LUMPUR 5 Mei - Tabung Projek Perumahan Terbengkalai (TPPT) yang ditubuhkan pada 1990 berjaya membantu memulihkan 74 projek perumahan terbengkalai di seluruh negara.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, keseluruhan projek perumahan yang berjaya dipulihkan melibatkan pinjaman daripada TPPT berjumlah RM356.2 juta yang diberikan kepada pemaju.

''Ia melibatkan 17,730 unit rumah iaitu 32 peratus atau 5,717 unit rumah kos rendah," katanya ketika menjawab soalan Nasharudin Mat Isa (Pas-Bachok) pada Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Nasharudin dalam soalannya ingin mengetahui apa manfaat TPPT yang ditubuhkan oleh Bank Negara kepada rakyat.

Menurut Nor Mohamed, TPPT ditubuhkan pada 1990 bertujuan menyediakan bantuan kewangan kepada pemaju untuk membangunkan projek-projek perumahan terbengkalai pada waktu itu.

TPPT bagaimanapun menurut beliau, telah ditutup kepada permohonan baru sejak 1992.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Nasharudin, Nor Mohamed berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengambil beberapa langkah untuk menangani masalah projek terbengkalai.

Jelasnya, ia termasuk mewujudkan Syarikat Perumahan Negara Malaysia (SPNM) yang sehingga kini telah membantu menyelesaikan 9,208 unit rumah terbengkalai.

Selain itu, tambah beliau, kementerian itu juga telah membuat satu kaedah baru untuk membolehkan semua permohonan pemaju melaksanakan projek-projek perumahan diluluskan dalam tempoh tidak sampai enam bulan.

Mengenai dua projek terbengkalai yang dijalankan secara usahasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan pemaju swasta, iaitu Plaza Rakyat dan Nas Pavillion, Nor Mohamed berkata, ia akan diselesaikan oleh pihak DBKL.

Beliau berkata, kerajaan sedang memikirkan satu kaedah baru untuk memberi alternatif kepada pembeli rumah membeli rumah hanya selepas ia disiapkan.

''Kaedah yang digunakan ialah pemaju membina rumah dahulu kemudian dijual kepada pembeli," katanya semasa menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang).

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.