This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Tapak pembinaan curi air
01/05/2008 Utusan Online Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN

KUALA LUMPUR 30 April - Sebuah tapak pembinaan di Taman Sri Hartamas di sini diserbu penguat kuasa Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) semalam kerana disyaki mencuri air.

Dalam serbuan berkenaan, SPAN telah memotong bekalan air ke situ serta-merta setelah mengesan empat saluran paip haram dipasang dari sistem paip Syabas untuk disalurkan ke tapak pembinaan itu.

Pengarah Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Abdul Halem Mat Som berkata, siasatan pihaknya mendapati pemaju itu cuba mengelirukan pihak Syabas dengan menyambung sistem paip mereka ke meter utama.

Namun, katanya, apa yang sebenarnya berlaku ialah meter air itu hanyalah untuk mengabui mata penguat kuasa Syabas kerana pemaju terbabit sebenarnya menyambung satu sistem paip lain dari saluran paip Syabas yang lain.

"Air sepatutnya disalurkan menerusi meter utama itu ke tapak pembinaan tetapi pemaju telah mengubah suai sistem paip mereka untuk mencuri air dari paip Syabas yang lain tetapi kelihatan seperti mendapat air yang melalui meter utama itu.

"Arah aliran air sepatutnya dari A ke B iaitu meter ke tapak pembinaan tetapi sudah jadi dari C ke B iaitu satu sumber lain ke tapak pembinaan itu," jelasnya kepada pemberita selepas menyertai operasi itu semalam.

Abdul Halem berkata, penjelasan yang diberikan oleh pihak kontraktor yang mewakili pemaju juga tidak memuaskan menyebabkan SPAN dan Syabas tidak teragak-agak mengenakan tindakan.

Ditanya bagaimana kegiatan itu boleh dibongkar, beliau berkata, pasukan siasatan khas Syabas telah lama memantau dan memeriksa kawasan itu sebelum operasi mengejut itu diadakan.

Difahamkan, kegiatan mencuri air oleh pihak pemaju berkenaan dipercayai telah dilakukan semenjak pembinaan projek tersebut dimulakan beberapa bulan lepas.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat memberikan jumlah kerugian yang telah ditanggung oleh Syabas kerana ia memerlukan siasatan dan pengiraan yang terperinci.

"Namun, apa yang pasti ialah kes kecurian air seperti ini menjadi penyumbang utama kepada kehilangan air tanpa hasil (NRW) kepada Syabas setiap tahun,'' katanya.

Mengenai pembabitan SPAN dalam operasi itu, Abdul Halem berkata, kerjasama pihak suruhanjaya itu diperlukan kerana hanya badan itu mempunyai kuasa untuk memotong bekalan dan mendakwa pihak yang mencuri air.

"Syabas hanya mempunyai kuasa untuk mengenakan notis selama 40 hari kepada pihak yang bersalah mengalihkan bekalan atau mencuri air," katanya.

Beliau berkata, pihak pemaju terbabit juga bakal didakwa di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang memperuntukkan denda sebanyak RM100,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekiranya didapati bersalah.

Dalam pada itu, Abdul Halem berkata, sebanyak 180 kes mencuri air dikesan sepanjang empat bulan pertama tahun ini.

Katanya, pasukan siasatan khas Syabas sentiasa melakukan pemeriksaan bagi mengesan kecurian air yang dilakukan oleh pelbagai pihak.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.