This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Tanggungjawab MC senggara kawasan
14/05/2008 Utusan Online

KUALA LUMPUR 13 Mei - Perbadanan Pengurusan (MC) yang dilantik di setiap kawasan bertanggungjawab menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan penyenggaraan terutamanya pengurusan sampah serta penyediaan kemudahan infrastruktur.

Pengarah Seni Taman dan Kawalan Pembersihan Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Saharuddin Mohd. Noh berkata, MC juga seharusnya bertindak dengan lebih proaktif bagi memberi keselesaan kepada pengguna.

Menurutnya, DBKL tidak akan menyenggara kawasan di bawah penyenggaraan MC memandangkan ia bukan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan itu.

Jelas Saharuddin, pengguna harus faham bidang kuasa dan kawasan MC dan tidak boleh menyalahkan DBKL sekiranya penyenggaraan tidak dilakukan di kawasan di bawah MC.

"DBKL hanya menyenggara kawasan dan jalan awam sahaja. Sekiranya terdapat masalah di dalam sesebuah kawasan yang mempunyai MC, pengguna perlu melaporkan masalah tersebut kepada mereka yang berkenaan.

"Bagaimanapun, DBKL sedia membantu untuk memaklumkan kepada MC agar mereka menjalankan penyenggaraan dengan segera," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Utusan Malaysia mengenai masalah sampah di Taman Shamelin Perkasa yang menimbulkan rungutan pengguna serta peniaga di kawasan terbabit.

Peniaga mendakwa, sejak 10 tahun yang lalu, kawasan tersebut dipenuhi sampah yang tidak dikutip sehinggakan menjejaskan perniagaan mereka.

Dakwa mereka, selain masalah sampah yang tidak dikutip, kawasan tersebut tidak mempunyai tempat letak kereta yang selesa serta tidak mempunyai lampu jalan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Awam DBKL, Ir. Siti Saffur Mansor berkata, mengikut kajian yang dijalankan, sebahagian kawasan perindustrian di Taman Shamelin Perkasa adalah milik persendirian.

Ujarnya, oleh itu, DBKL tidak mempunyai kuasa untuk mengambil alih tugas tersebut selagi pemaju tidak menyerahkan kawasan itu kepada DBKL.

Bagaimanapun, tegasnya, sekiranya MC gagal menyenggara kawasan tersebut, mereka boleh dikompaun sebanyak RM500.

"Sekiranya mereka enggan dikompaun, mereka seharusnya mencari inisiatif untuk membersihkan kawasan tersebut seperti mengadakan gotong-royong bersama-sama penduduk dan peniaga di kawasan terbabit," jelasnya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.