This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Tanah dimaju tanpa kebenaran

06/05/2008 Utusan Online Oleh A. Jailani Abdullah

SUDAH MULA... Pemaju sudah memulakan kerja-kerja tanah di tapak projek sebuah kawasan perumahan di Ukay Perdana, Hulu Klang selepas kaveat yang diperoleh oleh Amirul telah dibatalkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor.

SELAYANG 5 Mei - Kebenaran tidak pernah diberikan tetapi seorang ahli perniagaan mendakwa tanahnya kini sedang dibangunkan sebagai sebuah taman perumahan yang bakal menempatkan rumah teres dua setengah tingkat dan banglo.

Beliau yang mahu dikenali sebagai Amirul berkata, lebih mengejutkannya ialah apabila mendapati tanah seluas 0.405 hektar di Lot PT 1388 berhampiran Ukay Perdana, Hulu Klang itu sudah tidak lagi menjadi miliknya.

Beliau mendakwa dikurniakan tanah berkenaan oleh kerajaan negeri Selangor pada 1995 dan mendapat status geran sementara pada bulan Jun 2003.

Menurutnya, walaupun dia membayar cukai untuk tanah itu setiap tahun tetapi tanpa disedarinya, ada pihak yang menjalankan usaha supaya tanah itu dilucutkan hak daripada beliau.

"Saya dapati, pada ketika ini kerja-kerja tanah sedang dilakukan oleh sebuah syarikat pemaju perumahan di atas tanah saya itu.

"Pada mulanya saya pun tidak tahu sehinggalah seorang rakan memberitahu mengenainya dan apabila saya pergi meninjau, memang benar tanah saya sedang dimajukan," katanya ketika ditemui selepas membuat aduan di Pejabat Tanah dan Daerah Gombak di sini.

Beliau berkata, segala-galanya bermula apabila sebuah syarikat menawarkan diri untuk membuat kertas cadangan bagi memajukan tanah itu selepas beliau dan pemilik lain dikurniakan tanah itu.

Semua pemilik tanah yang dikurniakan tanah di situ kemudiannya menubuhkan sebuah syarikat, Legenda Budiman Sdn. Bhd. bagi mewakili dan menjaga kepentingan semua pemilik tanah.

"Oleh kerana syarikat itu milik bersama semua pemilik, kami bersetuju untuk menyerahkan geran kepada syarikat untuk diambil langkah yang sewajarnya demi kepentingan dan manfaat semua pemilik tanah," dakwanya.

Bagaimanapun, syarikat yang mahu membuat kertas cadangan itu kemudiannya menarik diri dan sebuah syarikat lain datang berjumpa dengan pemilik dan menawarkan untuk membangunkan kawasan itu.

Katanya, syarikat itu juga menawarkan beliau dan juga pemilik-pemilik lain sejumlah bayaran dan beberapa faedah lain sebagai insentif untuk membangunkan kawasan itu.

"Kami kemudian diberikan cek sebagai bayaran pendahuluan tetapi apabila saya masukkan cek itu ke bank, ia didapati cek tendang.

"Pemeriksaan lanjut saya dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pula mendapati latar belakang syarikat itu meragukan.

"Berikutan itu, saya menarik balik persetujuan untuk membangunkan tanah itu sementara pemilik tanah yang lain dikatakan bersetuju dengan tawaran syarikat terbabit," katanya.

Oleh kerana tidak bersetuju dengan tawaran itu, Amirul meminta supaya geran tanah miliknya dikembalikan, namun sehingga kini ia tidak diperolehnya.

"Yang mengejutkan saya ialah apabila mendapati tanah saya telah dikembalikan kepada kerajaan negeri dan ia berlaku tanpa pengetahuan dan kebenaran saya serta alasan yang kukuh," ujarnya.

Pada masa yang sama, carian saya di SSM mendapati nama syarikat yang mewakili pemilik tanah itu itu telah ditukar nama sebanyak dua kali tetapi lembaga pengarahnya masih orang yang sama.

Katanya, syarikat itu kemudiannya melantik syarikat Gapadu Harta sebagai pemaju dan kerja-kerja tanah sudah dimulakan di tapak projek itu.

Berikutan itu, kata Amirul, beliau telah membuat laporan polis dan memaklumkan kepada Pejabat Tanah dan Daerah Gombak untuk mendapatkan kaveat ke atas tanah itu pada Disember lalu.

Kaveat ialah tindakan memohon Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri di Shah Alam menggunakan kuasanya untuk menggantung sebarang aktiviti atau urus niaga daripada dijalankan ke atas tanah terlibat.

Halangan itu berkuat kuasa selama enam tahun dari tarikh permohonan atau sehingga kaveat ditarik balik.

Namun, kata beliau, apa yang menimbulkan tanda tanya kepadanya ialah kaveat itu telah dibatalkan oleh PTG pada 15 Februari lalu atas alasan pemilik tanah telah menunjukkan laporan polis yang dibuat oleh mereka di Ibu pejabat Polis Ampang Jaya.

Katanya, tindakan membatalkan kaveat itu juga diambil kerana siasatan polis ke atas laporan saya di Balai Polis Taman Melawati sebelum ini tidak menunjukkan ada unsur-unsur jenayah.

"Bagaimanapun, pegawai polis yang mengendalikan kes itu memberitahu saya, laporan siasatannya tidak menentukan pihak mana yang melakukan kesalahan kerana keputusan itu hanya boleh dibuat oleh mahkamah.

"Sehubungan itu, saya membuat satu lagi laporan polis pada 18 Mac lalu dan saya juga telah berjumpa pula dengan Pegawai Daerah Gombak untuk mengadu mengenai hal ini," katanya.

Amirul berkata, jika beliau mendapati keadaan tidak berubah dan haknya tidak dikembalikan, dia akan membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah pula.

"Saya percaya ada unsur-unsur penyalahgunaan kuasa dalam kes ini terutama bagaimana kaveat boleh dibatalkan hanya berasaskan kepada satu laporan polis dan bukannya keputusan mahkamah," ujarnya.

Sementara itu, pemaju projek perumahan tersebut, Gapadu Harta Sdn. Bhd. memberitahu, syarikat itu adalah salah satu daripada syarikat usahasama bagi memajukan tanah yang dimaksudkan oleh Amirul.

Ketua Komunikasi Pemasarannya, Jessie Leong berkata, Gapadu Harta tidak terlibat dalam membuat sebarang laporan polis atau usaha menarik balik kaveat yang dibuat ke atas tanah tersebut.

"Kita hanya pemaju projek dan bukannya pemilik tanah. Barisan peguam kami yang berurusan dengan pemilik tanah terbabit dan setakat ini semuanya dibuat berlandaskan peraturan dan undang-undang," katanya.

Katanya, setakat ini juga, pihaknya tidak dimaklumkan tentang sebarang penangguhan terhadap projek itu.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.