This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Syor kerajaan negeri pinda enakmen tanah

01/05/2008 Utusan Online


KOTA BHARU 29 April - Pembangkang mencadangkan kerajaan negeri meminda enakmen tanah agar gejala pertukaran status tanah pertanian bagi projek-projek perumahan tidak berterusan.

Ketua Pembangkang, Datuk Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) berkata, ia suatu yang membimbangkan apabila kawasan tanaman terutamanya padi semakin mengecil dalam memenuhi tuntutan para pemaju yang berlumba mencari keuntungan besar.

''Kita mahu hasil yang terus meningkat untuk menapung keperluan tetapi pada masa yang sama ia ditukarkan dengan mudah menjadi kawasan perumahan," ujarnya.

Beliau menarik perhatian tentang keghairahan pemaju untuk membangunkan tanah sawah dengan projek perumahan bagi kepentingan perniagaan dan sejauh mana keuntungan buat rakyat boleh dipersoalkan.

Katanya, tanah sawah yang sedia ada boleh dieksploitasi secara terancang untuk menampung keperluan makanan negeri dan negara.

Beliau menyatakan demikian membahaskan cadangan peruntukan tambahan bagi tahun 2008 dalam sidang Dewan Undangan Negeri di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Pada masa yang samanya katanya, kerajaan negeri juga perlu memberi perhatian terhadap perkembangan ternakan di negeri ini termasuk dengan menyediakan tanah rezab padang ragut yang secukupnya.

Bagaimanapun katanya, tanah berkenaan juga kini dijadikan sasaran mudah untuk pelbagai jenis projek pembangunan.

''Binatang juga perlu ada padang ragut buat mereka, di Ketereh, ia telah dijadikan kawasan perumahan," ujarnya.

Alwi bagaimanapun berharap dalam mengembangkan sektor pertanian, kerajaan negeri tidak akan mengubah pendiriannya dengan membenarkan ladang babi diwujudkan di negeri ini pada masa depan.

''Harap Kelantan tidak akan lakukan jika ada desakan, biarpun 'kembarnya', Parti keadilan Rakyat (PKR) buat," ujarnya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.