Sampai bila harus sabar?
07/05/2008 Utusan Online Oleh A.
Jailani Abdullah
HILANG SABAR... Pembeli rumah Lestari Permai di Puchong yang sudah menunggu
hampir empat tahun berkumpul di kawasan perumahan mereka yang terbengkalai
bagi menuntut pemaju menyiapkan rumah mereka, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR 6 Mei - Tidak tertahan lagi dengan masalah kelewatan dan alasan
demi alasan yang diberikan oleh pemaju, gabungan empat Jawatankuasa
Bertindak Pembeli-pembeli Rumah yang dibina oleh Talam Corporation (Talam)
bertindak menghantar memorandum kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan
Tempatan (KPKT), semalam.
Lebih 100 ahli jawatankuasa bertindak itu berkumpul di hadapan kementerian
itu di Pusat Bandar Damansara di sini untuk berjumpa dengan Menteri
Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Ong Ka Chuan untuk
menyerahkan memorandum itu.
Gabungan Jawatankuasa Bertindak itu terdiri daripada Jawatankuasa Taman
Lestari Permai, Lestari Puchong, Puncak Jalil Fasa 10A dan Saujana Puchong
Fasa 9.
Namun, oleh kerana Ka Chuan dan timbalannya tidak berada di pejabat pada
ketika itu, mereka terpaksa berpuas hati untuk sekadar bertemu dengan
Timbalan Ketua Pengarah Perumahan, Dr. G. Parameswaran.
Selain menyerahkan memorandum itu, kumpulan itu turut bermesyuarat dengan
Parameswaran selama kira-kira tiga jam.
Difahamkan, mesyuarat itu berlangsung dalam suasana yang panas kerana banyak
permintaan dan pertanyaan yang dikemukakan oleh ahli jawatankuasa itu tidak
dapat diberikan jawapan yang konkrit oleh pihak kementerian.
Mesyuarat itu cuba membincangkan jalan penyelesaian berhubung masalah
kelewatan rumah mereka disiapkan, yang di antaranya telah terlewat hampir
empat tahun daripada tarikh yang dijanjikan.
"Perjumpaan hari ini juga tidak berhasil... kami hanya membazir masa dan
minyak kenderaan dan akhirnya terpaksa bersabar lagi selepas menunggu empat
tahun dan mengadakan pertemuan demi pertemuan dengan agensi-agensi terbabit
dan juga pihak pemaju.
"Kami diminta bersabar dan menghadiri satu lagi pertemuan pada Isnin depan.
Kami bersetuju untuk memberikan satu lagi peluang kepada semua pihak
terlibat," kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembeli Rumah Taman Puncak
Jalil Fasa 10A, Ayamany Sinakalai.
Bagaimanapun, pembeli terbabit menetapkan beberapa syarat dalam pertemuan
minggu depan dan yang paling utama ialah Ka Chuan atau timbalannya mesti
menghadiri perjumpaan itu.
Selain itu, mereka turut mahu perjumpaan itu dihadiri oleh pihak pengurusan
tertinggi Talam dan IJM Corporation Berhad.
IJM merupakan syarikat yang telah dilantik sebagai kontraktor utama untuk
mengambil alih empat projek perumahan yang terbabit dalam isu itu daripada
Talam.
Gabungan Jawatankuasa Bertindak itu juga memberi amaran jika mereka yang
disebutkan nama itu tidak menghadiri pertemuan tersebut, mereka akan berarak
ke Parlimen.
Menjelaskan alasan mengapa mereka mahu pihak atasan menghadiri pertemuan itu,
Ayamany berkata, mereka mahukan penjelasan terus daripada Ka Chuan mengapa
tiada tindakan dikenakan ke atas Talam berhubung masalah-masalah yang mereka
timbulkan.
"Kami juga mahukan ketua pegawai eksekutif Talam dan IJM Corporation berada
dalam perjumpaan itu kerana selama ini perjumpaan demi perjumpaan hanyalah
dengan pegawai yang tidak boleh membuat keputusan.
"Kami sudah muak dan tidak boleh bersabar lagi dengan perjumpaan dengan
pihak bawahan yang tidak boleh membuat keputusan.
"Jika mereka ini tidak ada di dalam perjumpaan itu, kami akan berarak ke
Parlimen," katanya.
Sementara itu, Naib Pengerusi Jawatankuasa Bertindak bagi Lestari Puchong,
K.P. Leong berkata, mereka mendakwa kebanyakan rumah terbabit telah 80
peratus siap.
"Talam telah mengutip bayaran sebanyak 80 peratus daripada pembeli dan tidak
sepatutnya menghadapi masalah untuk menyiapkan baki kerja mereka.
"Ke mana perginya wang yang mereka peroleh selama ini," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak bagi Saujana Puchong Fasa 9, Ahmad Nasuhar
Hassan pula berkata, mereka tidak dapat menerima alasan Talam bahawa projek
itu tidak dapat disiapkan kerana masalah kewangan.
Katanya, ini kerana akhbar pernah melaporkan bahawa Talam diberikan projek
Lebuh Raya Pantai Barat oleh kerajaan dengan harapan wang yang mereka
peroleh daripada projek besar itu dapat digunakan untuk menyempurnakan
projek-projek perumahan mereka yang telah terlewat.
Beliau turut membawa keratan akhbar yang melaporkan berita itu sebagai bukti.
Ayamany turut menyokong kenyataan Ahmad Nasuhar dengan menunjukkan keratan
akhbar lain yang melaporkan bahawa Talam akan melabur berbilion ringgit
untuk projek hartanah di China.
"Kalau dia (Talam) ada duit untuk labur di China, mengapa rumah kami di sini
tidak disiapkan," katanya.
Sementara itu, Parameswaran berkata, dakwaan pembeli-pembeli bahawa pihak
kementerian tidak mengambil sebarang tindakan adalah tidak benar.
"Kami sentiasa memantau Talam. Antara tindakan KPKT ialah tidak memberikan
projek perumahan lagi kepada Talam dan menyenaraihitamkan lembaga pengarah
dan syarikat itu.
"Selain itu, kami membuat tinjauan ke tapak projek dan mengadakan mesyuarat
dengan Talam setiap bulan, selain dengan agensi lain yang terbabit," katanya.
Mengenai perjumpaan yang diatur pada Isnin depan, Parameswaran berkata,
beliau akan berusaha agar menteri atau timbalannya menghadiri pertemuan itu.
"Saya tidak boleh berjanji kerana kita tahu menteri atau timbalannya sibuk
dan belum tentu mereka mempunyai kelapangan pada hari yang diaturkan,"
ujarnya. |