This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Rumah terbengkalai jadi sarang penagih
14/05/2008 Utusan Online Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI

SEREMBAN 13 Mei - Rumah terbengkalai hampir 20 tahun di Taman Temiang Jaya di sini digelar 'rumah hantu' kerana menjadi lokasi kaki botol, penagih dadah dan penghidu gam melepaskan gian.

Suasana itu membuatkan penduduk di taman berkenaan sentiasa resah dan bimbang apabila 13 buah rumah teres dua tingkat di situ berterusan menjadi sarang penyakit sosial.

Imam Surau Taman Temiang Jaya, Dahlan Mohamad, 65, memberitahu, projek perumahan tersebut dimulakan sejak tahun 1985 tetapi gagal disiapkan kerana masalah kewangan.

''Projek itu telah beberapa kali bertukar pemaju dan sehingga kini, pemaju lesap rumah terus terbengkalai. Sekarang, penghuni tetapnya bukan manusia tetapi nyamuk aedes. Manusia pula yang datang ke situ tidak kira masa.

''Mereka bukan penduduk tetapi menceroboh rumah berkenaan dengan melakukan kegiatan tidak bermoral seperti minum minuman keras, hisap dadah dan sebagainya," katanya kesal.

Beliau mendakwa projek itu telah diambil alih oleh tiga pemaju sebelum ini dan sebahagian besar pemilik rumah itu telah membayar ansuran melalui potongan gaji.

Utusan Malaysia yang membuat tinjauan di lokasi terbabit mendapati ruang dalam salah sebuah rumah teres terbengkalai itu mempunyai sofa dan lantainya penuh dengan botol minuman keras dan samsu, selain putung rokok dan tin gam yang bertaburan.

Lebih menjijikkan, bahagian lain dalam bilik ini dijadikan tempat membuang air kecil dan tambah mengejutkan lagi bahagian dinding antara rumah teres dua tingkat itu ditebuk lubang, dipercayai bertujuan meloloskan diri jika pihak berkuasa datang menyerbu.

Sementara itu, seorang lagi penduduk M. Subramaniam, 44, berkata, kawasan berkenaan pernah dibersihkan oleh penduduk setempat untuk dijadikan kawasan penanaman sayur namun sejak beberapa insiden berlaku di kawasan itu, ia terus terbiar.

''Kami pernah mengambil inisiatif menanam sayur tetapi oleh kerana kawasan itu tidak selamat kerana didatangi individu yang tidak dikenali iaitu menagih dadah, kami biarkan,'' jelasnya.

Katanya, kini hanya tinggal beberapa batang pokok pisang dan tebu dalam timbunan semak itu.

''Kadang kala, remaja dan belia datang berpasangan terutamanya mat rempit. Ada juga yang melakukan aktiviti seks bebas. Ini semua tidak bermoral dan kami bimbang keselamatan penduduk dan anak-anak di taman ini," jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Azlan Kamarudin, 26, memberitahu, sepatutnya pihak pemaju bertanggungjawab dengan keadaan rumah yang tidak terurus itu kerana ia mengundang keresahan penduduk, apatah lagi peningkatan penyakit demam denggi.

''Penduduk di sini berharap ada langkah drastik diambil oleh mana-mana pihak agar keadaan ini tidak menyumbang tragedi kepada penduduk.

''Kalau pemaju gagal meneruskan projek ini, kami penduduk tidak mahu melihat rumah itu terus begitu. Robohkan atau mencari jalan membangunkannya secara bantuan kerajaan," katanya.

Azlan memberitahu, penduduk di situ telah pun menyatakan masalah ini kepada pihak berkaitan termasuklah pemaju tetapi sehingga sekarang tiada sebarang tindakan diambil.

''Kami berharap pihak berkuasa terus mengadakan operasi pembersihan di kawasan 13 rumah teres terbengkalai ini dan bersedia membantu, sama ada bergotong royong dan sebagainya. Datanglah dan lihat masalah yang kami hadapi ini.

''Kalau ia tidak diatasi, saya bimbang masalah sosial dan demam denggi akan terus berlaku," tegasnya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.