This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pemilik tanah dakwa rugi RM6j
14/05/2008 Berita Harian Oleh Nasir Abd Wahab

Pemaju, pembeli tuntut rugi akibat tindakan kontraktor asal

JASIN: Seorang pemilik tanah di sini, mendakwa kerugian kira-kira RM6 juta apabila terpaksa membayar ganti rugi kepada 100 pembeli rumah dan syarikat pemaju Taman Hajjah Yon, Rim, yang terbengkalai sejak enam tahun lalu, susulan arahan mahkamah supaya projek itu diberhentikan.

Pemilik tanah berkenaan, Ariffin Mohamed, mendakwa projek perumahan di kawasan tanah seluas 8.49 hektar itu yang dilaksanakan pembinaannya pada 2002, sebelum ini terbengkalai, selepas kontraktor asal projek terbabit memohon mendapatkan perintah injuksi mahkamah.

Katanya, injuksi yang diperoleh kontraktor itu menyebabkan syarikat kontraktor kedua yang dilantik bagi meneruskan projek itu tidak boleh meneruskan pembinaan 269 unit perumahan bercampur di taman berkenaan.

"Saya sudah kehabisan banyak wang untuk membangunkan semula taman ini," katanya ketika mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pembangunan Pekan Kecil dan Pemulihan Projek negeri, Datuk Abdul Ghafaar Atan di tapak projek itu, kelmarin.

Pertemuan selama kira-kira 30 minit, sebelum disusuli tinjauan, bertujuan membantu kerajaan mengenal pasti masalah dihadapi Ariffin disamping mencari jalan penyelesaian.

Hadir sama, Pegawai Perancang Bandar dan Desa Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Shamsidah Ismail; Jurutera MPJ, Zainuddin Samad; Penghulu Mukim Merlimau, Lazan Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Rim, Mustaza Abu Amin.

Ariffin berkata, ketika memulakan projek itu, sebanyak 40 unit rumah kos rendah dan kos sederhana berharga antara RM35,000 hingga RM43,000 berjaya dijual dalam masa seminggu sebelum kontraktor utama projek itu mengalami masalah kewangan.

Sambil berharap masalah itu dapat diselesaikan segera, beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas kesudian membantu beliau.

Sementara itu, seorang pembeli projek perumahan itu ketika ditemui berkata, akibat terlalu lama menunggu proses perbicaraan pemilik dan syarikat pemaju itu di mahkamah, beliau bersama 100 pembeli lain, kebanyakannya dari Tangkak, Johor sudah mengemukakan permohonan mendapatkan semula wang pendahuluan sebanyak 10 peratus.

Bagaimanapun, beliau berasa kesal kerana hanya pembeli yang membuat pinjaman pembelian rumah itu menerusi skim pinjaman perumahan kerajaan berjaya mendapatkan semua deposit berkenaan, manakala peminjam menerusi bank masih gagal menerimanya.

"Akibatnya, kami yang meminjam menerusi bank komersial sehingga kini terpaksa menanggung beban dan ada yang sudah disenarai hitam sehingga tidak boleh membuat apa-apa pinjaman baru,'' katanya dengan nada marah dan kecewa.

Dalam pada itu, Abdul Ghafaar ketika mengulas kes berkenaan mengarahkan Ariffin segera mengemukakan permohonan baru kepada MPJ dan Lembaga Perumahan Melaka (LPM) supaya projek itu boleh diteruskan tanpa berdepan kerenah birokrasi.

"Kerajaan negeri sebenarnya sedia membantu mana-mana pemilik tanah atau syarikat pemaju yang berdepan masalah meneruskan projek terbengkalai dengan panduan tertentu supaya ia dapat disiapkan mengikut jadual,'' katanya.

Abdul Ghafaar berkata, antara kesilapan yang sering dilakukan pemilik tanah atau pemaju ialah mengambil deposit daripada pembeli dan kemudian mencagarkan keseluruhan tapak projek berkenaan kepada bank untuk mendapatkan pinjaman.

"Sekarang ini, kerajaan Pusat tidak lagi membenarkan kaedah ini, hanya pemaju yang terbukti kukuh kewangan dibenarkan menjalankan projek kerana dasar kerajaan ketika ini ialah mahu melihat pemaju menyiapkan 100 peratus rumah dan kemudian baru dijual kepada pembeli,'' katanya.

Sementara itu, Abdul Ghafaar memberi amaran kepada dua syarikat kontraktor yang dikesan gagal menjalankan kerja di projek Taman Selandar Indah dan di Pondok Kempas, di sini, sehingga menyebabkan ia terbengkalai sejak enam tahun lalu.

Kedua-dua kontraktor berkenaan diberi tempoh sehingga 31 Ogos ini untuk menyiapkan fasa I dan II di kedua-dua taman itu supaya ia dapat diserahkan kepada kira-kira 100 pembelinya pada 1 September ini.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.