Pembeli rumah Talam mungkin
dapat pampasan RM30,000
10/05/2008 Utusan Online
KUALA LUMPUR 9 Mei - Para pembeli rumah yang dimajukan oleh Talam
Corporation (Talam) di empat kawasan sekitar Puchong yang sehingga kini
masih belum dapat menduduki rumah mereka mungkin menerima sehingga RM30,000
sebagai pampasan di atas kelewatan itu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata,
pampasan itu diberikan kepada pembeli yang layak melalui tribunal pengguna.
Menurutnya, selain pampasan, pihaknya juga sedang berunding dengan pihak
pemaju bagi memastikan para pembeli berkenaan dapat menduduki rumah mereka
secepat mungkin.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan syarikat
Architect Centre Sdn. Bhd. di sini semalam.
Ka Chuan mengulas 'ugutan' gabungan empat Jawatankuasa Bertindak
Pembeli-Pembeli Rumah yang dibina oleh Talam di sekitar Puchong untuk
berarak ke Parlimen jika beliau gagal berjumpa dengan mereka Isnin depan.
Gabungan Jawatankuasa Bertindak itu terdiri daripada Jawatankuasa Taman
Lestari Permai, Lestari Puchong, Puncak Jalil Fasa 10A dan Saujana Puchong
Fasa 9.
Ada di antara projek itu sudah terlewat lebih empat tahun daripada tarikh
dijanjikan.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan kesediaannya untuk berjumpa
jawatankuasa berkenaan sebaliknya berkata, berarak ke Parlimen tidak
menjanjikan sebarang hasil positif dalam menyelesaikan masalah mereka.
Menurutnya, pihak kementerian telah mengadakan dua perjumpaan dengan pemaju
berkenaan dan tidak menolak kemungkinan projek-projek perumahan di situ
mungkin akan di ambil alih oleh pemaju lain, antaranya IJM Corporation Bhd.
"Jadi saya berharap para pembeli terlibat dapat bersabar sementara KPKT
meneruskan rundingan dengan pemaju," jelasnya. |