Pembeli rumah minta kerajaan
campur tangan
08/05/2008 Berita Harian
KUALA LUMPUR: Lebih 200 pembeli rumah terbengkalai yang dimajukan sebuah
syarikat hartanah, menghantar memorandum kepada Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan memohon supaya kerajaan campur tangan dan mencari
penyelesaian kepada masalah kelewatan projek perumahan mereka yang sudah
berlarutan lebih lima tahun.
Memorandum daripada kira-kira 2,000 pembeli rumah Taman Lestari Permai,
Taman Lestari Puchong, Taman Saujana Puchong 9 dan Taman Puncak Jalil P10A
itu diterima Timbalan Ketua Pengarah Perumahan, Dr G Parameswaran sebelum
mengadakan perbincangan dengan mereka selama hampir dua jam.
Dalam pertemuan itu, pembeli rumah berkenaan yang mendakwa sudah kerap kali
turun naik pejabat pemaju untuk mendapatkan kepastian bila rumah mereka akan
siap, menuntut untuk berjumpa dengan Menteri, Datuk Seri Ong Ka Chuan namun
diberitahu beliau sedang menghadiri sidang Parlimen.
Mereka juga mengugut untuk mengadakan perhimpunan di depan Parlimen mendesak
masalah itu diselesaikan segera oleh kerajaan jika pertemuan antara pemaju
dan kontraktor yang dilantik pemaju, IJM Corporation (IJM) serta Menteri
tidak diadakan Isnin depan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Taman Saujana Puchong 9, Ahmad Nasuhar
Hassan, berkata pembeli terpaksa membayar wang pinjaman dengan bank walaupun
rumah masih belum siap.
“Banyak aduan sudah kami berikan termasuk mahu jumpa pemaju sendiri tetapi
mereka enggan melayan permintaan kami. Beberapa kali mereka menyebut tarikh
projek itu akan disiapkan tetapi bila tiba waktunya, mereka akan menyebut
tarikh lain pula,” katanya.
Ahli Jawatankuasa Bertindak Taman Lestari Perdana, Sri Ganes pula mendakwa
mereka pernah dihalau oleh pemaju apabila ingin berjumpa dengan pihak
pengurusan bagi mencari penyelesaian masalah berkenaan.
“Kami sudah penat ke sana ke mari mengadu masalah kami. Kita mohon
kementerian bantu supaya masalah ini dapat diselesaikan dan nasib pembeli
seperti kami dibela oleh kerajaan,” katanya. |