Pemaju abai tanggungjawab
13/05/2008 Utusan Online Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
terbiar... Lubang kumbahan yang tidak ditutup di Flat Seri Bayu ini
membahayakan kanak-kanak. Malah sampah juga dibiarkan tanpa dikutip.
RAWANG 12 Mei - Yuran penyelenggaraan dibayar setiap bulan, namun mutu
perkhidmatan yang diterima bukan sahaja tidak setimpal, malah jauh daripada
apa yang dijanjikan.
Begitulah dilema yang dihadapi oleh penduduk Flat Seri Bayu di Bandar
Country Homes di sini semenjak dua tahun lepas ekoran sikap pemaju yang
tidak bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan dan penyenggaraan kawasan
perumahan itu.
Masalah penduduk di situ memuncak minggu lalu apabila sistem pembetungan di
situ tersumbat menyebabkan air kumbahan melimpah keluar dan mengeluarkan bau
busuk.
Lebih teruk lagi, air itu memasuki rumah setengah penghuni di situ sehingga
menjejaskan keselesaan dan kehidupan harian mereka.
Penduduk memberitahu, pada hari kejadian, penduduk terpaksa bertungkus-lumus
membersihkan sendiri limpahan itu tanpa bantuan daripada pihak pemaju
walaupun ia sebenarnya di bawah tanggungjawab mereka.
Namun, mereka bernasib baik kerana Balai Bomba dan Penyelamat Rawang serta
pihak Indah Water Konsortium (IWK) membantu membersihkan keadaan di situ
sebelum ia menjadi lebih teruk.
Menurut seorang penduduk, Rogayah Md. Noor, 40, pihak pemaju langsung tidak
tampil menghulurkan bantuan kepada penduduk semasa kejadian itu.
"Habis air najis melimpahi masuk ke dalam rumah saya dan jiran-jiran lain
kerana kegagalan sistem pembetungan berfungsi dengan baik,'' katanya.
Dia yakin sekiranya sistem kumbahan itu diselenggara dengan baik dan diberi
perhatian oleh pemaju, sudah pasti tidak berlaku kejadian seperti itu.
Katanya, seorang penduduk juga terpaksa mengeluarkan duit poketnya sendiri
sebanyak RM250 bagi menyedut limpahan air kumbahan bagi mengelakkannya
daripada terus melimpah.
Selain itu, Rogayah juga mendakwa kualiti kerja yang rendah atau bahan
kurang berkualiti yang digunakan oleh pemaju telah menyebabkan sistem
saluran air di flat itu banyak yang bocor.
Katanya, memandangkan rumah tersebut adalah rumah flat, sistem saluran rumah
di tingkat atas pastinya melalui rumah di tingkat bawah dan kebocoran sistem
saluran itu menyebabkan penduduk di bawah menjadi mangsa.
"Kebanyakan rumah di sini berdepan dengan masalah itu," katanya.
Katanya, masalah berkenaan menjadi begitu teruk sehingga air menyerap ke
dalam lantai menyebabkan ada sistem pendawaian elektrik di sebahagian rumah
di situ yang tidak boleh digunakan kerana terdedah kepada kejutan elektrik.
Salah seorang penduduk yang menjadi mangsa kecuaian pihak pemaju itu ialah
Faridah Abbas, 50.
Dia mendakwa lampu di rumahnya tidak dapat digunakan langsung sejak dua
tahun lalu kerana sistem pendawaiannya dipercayai sudah rosak.
"Tiap-tiap malam kami sekeluarga terpaksa bergelap dan hanya bergantung
kepada cahaya lampu di luar rumah menerangi rumah kami,'' katanya.
Nasib keluarga itu bertambah malang kerana anak lelakinya baru sahaja
ditimpa kemalangan dan tidak mampu bergerak serta memerlukan perhatian
sepanjang masa.
"Kasihanilah kami sekeluarga di sini yang terpaksa tinggal dalam serba
kekurangan. Kami tiada pilihan, untuk berpindah kami tidak mampu. Inilah
satu-satunya rumah yang kami ada,'' katanya.
Salah seorang lagi penduduk, Adnan Shari, 39, mendesak supaya pihak pemaju
tidak bersikap lepas tangan, sebaliknya perlu sentiasa memberi perhatian
terhadap kemudahan yang perlu disediakan untuk penduduk di situ.
"Walaupun yuran penyelenggaraan hanyalah RM40 dan rumah ini cuma rumah kos
rendah tetapi janganlah bersikap acuh tak acuh. Penduduk di sini juga
mempunyai hak yang perlu disediakan oleh pemaju,'' katanya.
Rumah Adnan yang terletak di tingkat paling atas juga tidak terlepas
daripada menjadi mangsa pemaju yang tidak mementingkan kualiti.
Katanya, dia sekeluarga terpaksa berhadapan dengan masalah kebocoran bumbung
yang serius sehingga terpaksa berjaga-jaga setiap kali hujan.
"Kalau hujan malam, saya dan ahli keluarga yang lain tidak boleh tidur
kerana ia akan menitis masuk. Terpaksa kami mencari sudut yang tidak bocor,''
katanya.
Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan perumahan itu juga mendapati, lubang
saluran kumbahan dibiarkan terdedah dan boleh membahayakan keselamatan
terutamanya kanak-kanak.
Sampah-sarap juga dilihat bertaburan di sana sini dan kawasan pembiakan
nyamuk aedes juga boleh dikesan di mana-mana.
Penduduk Flat Seri Bayu juga menggesa pihak pemaju supaya tidak melupakan
tanggungjawab sosial mereka dengan menyediakan surau dan padang permainan
kepada penduduk di situ.
Penduduk mendakwa, pihak pemaju memberi syarat kepada mereka supaya membeli
sebidang tanah di situ terlebih dahulu sekiranya ingin mendirikan surau.
Penduduk berkata, mereka sudah lama bersabar dengan sikap pemaju yang tidak
mengambil berat soal kemudahan di kawasan itu dan meminta mereka membaikinya
sebelum penduduk bertindak melaporkan kepada pihak kerajaan. |