Pemaju 3 projek diberi tempoh
hingga akhir bulan
14/05/2008 Berita Harian
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi
masa sehingga akhir bulan ini kepada pemaju projek perumahan terbengkalai di
Taman Lestari Permai, Taman Lestari Puchong dan Taman Saujana Puchong 9
untuk menyelesaikan isu itu selepas mencapai kata sepakat melalui mesyuarat
khas mengenainya kelmarin.
Timbalan Menterinya, Datuk Hamzah Zainuddin, berkata kata putus untuk
menyelesaikan perkara itu sudah diperoleh melalui mesyuarat khas yang
dihadiri oleh wakil pemaju, penduduk dan kementerian.
“Apa yang boleh saya katakan adalah, kedua-dua pihak iaitu pemaju dan
pembeli bersetuju dengan formula yang dikemukakan kementerian yang mengambil
inisiatif untuk menyelesaikan perkara ini supaya ia tidak berlanjutan
sehingga menyusahkan rakyat.
“Pada peringkat pertama mesyuarat membabitkan pembeli rumah di kawasan Taman
Lestari Permai, Taman Lestari Puchong dan Taman Saujana Puchong 9 penduduk
dan pemaju sudah mencapai kata sepakat mengenai cara atau kaedah
penyelesaiannya yang mana akan dikemukakan pemaju akhir bulan ini,” katanya
pada sidang media selepas mesyuarat itu di pejabatnya.
Beliau berkata, bagi mesyuarat kedua yang diadakan khusus membincangkan
masalah yang dihadapi penduduk Puncak Jalil P10A sudah menemui penyelesaian
dan hanya menunggu masa untuk dibawa ke peringkat seterusnya.
“Kita mencapai persetujuan yang baik dalam mesyuarat ini. Pada asasnya
formula yang dikemukakan kementerian dipersetujui kedua-dua pihak dan kini
terpulang kepada wakil pembeli untuk membincangkannya di peringkat mereka,”
katanya. ‘
Sementara itu, wakil penduduk Puncak Jalil P10A, Ayamani Sirakalai, berkata
pihaknya berpuas hati dengan peranan yang dimainkan Hamzah yang
mempengerusikan mesyuarat itu dengan baik dan mengemukakan pendapat yang
memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak. |