This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pemaju diarah bayar gantirugi pemilik kondo

01/05/2008 Utusan Online


PUTRAJAYA 30 April - Mahkamah Rayuan memerintahkan Sentul Raya Sdn. Bhd. membayar gantirugi secara tunai kepada 82 pemilik Kondominium Sang Suria di ibu negara, berkuatkuasa serta merta setelah syarikat itu gagal menyiapkan projek perumahan tersebut dalam tempoh yang ditetapkan.

Panel tiga hakim yang bersidang membuat keputusan itu setelah menolak dengan kos rayuan Sentul Raya Sdn. Bhd. untuk membatalkan keputusan 10 Mahkamah Tinggi yang memberikan pampasan kepada pemilik-pemilik kondominium ekoran kelewatan syarikat itu menyiapkan hartanah yang dibeli dalam masa 36 bulan.

Hakim Datuk Gopal Sri Ram yang mengetuai sidang bersama Hakim Datuk Heliliah Mohd. Yusof dan Hakim Datuk Ahmad Maarop turut membenarkan rayuan balas 27 pembeli terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak pemberian gantirugi kepada mereka.

Sentul Raya Sdn. Bhd. diarah oleh Mahkamah Tinggi membayar gantirugi secara tunai yang dikira secara harian pada kadar 10 peratus setahun daripada harga belian.

Hakim Sri Ram ketika membacakan penghakiman tersebut selama lebih sejam berkata, isu krisis ekonomi pada 1997 yang dihujahkan oleh pemaju menyebabkan projek itu gagal disiapkan, tidak dapat diterima oleh mahkamah walaupun krisis berkenaan membebankan kewangan pemaju.

Menurut beliau, ini kerana terdapat peruntukan undang-undang yang membolehkan pemaju membuat representasi kepada pihak kerajaan berhubung kelewatan menyiapkan projeknya.

Hakim Sri Ram turut menyatakan, pemaju perumahan yang menandatangani perjanjian jual beli dengan pembeli tidak boleh sebebas-bebasnya mengenakan syarat kerana ia merupakan perjanjian khas yang diperuntukkan di bawah Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966.

Sehubungan itu, beliau berpendapat, pembeli rumah tidak perlu memaklumkan kepada pemaju niat mereka untuk menuntut gantirugi secara tunai sebelum mengemukakan permohonan berbanding kontrak biasa di bawah Akta Kontrak 1950.

Dengan itu kata beliau, hujah pemaju bahawa pembeli rumah perlu mengemukakan notis terlebih bagi mendapatkan pampasan, ditolak oleh mahkamah.

Pembelian unit kondominium itu dibuat bersandarkan kepada perjanjian jual beli melalui borang standard seperti yang diperuntukkan dalam Jadual H Peraturan-Peraturan Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989.

Perjanjian itu menghendaki pemaju menyiapkan projek tersebut untuk diserahkan kepada pembeli dalam tempoh 36 bulan daripada tarikh dokumen ditandatangani.

Klausa 22(2) pada borang perjanjian itu menyatakan, jika pemaju gagal menyerahkan unit berkenaan untuk diduduki dalam tempoh tersebut, syarikat tersebut harus membayar gantirugi secara tunai (LAD) kepada pembeli.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.