Mendap ancam Megah Villa
01/05/2008 Utusan Online Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABDUL RAHIM
SEORANG penduduk, Mohd. Nazim Haja Mydin menunjukkan rekahan yang semakin
membesar di Apartmen Megah Villa di Kota Warisan,
SEPANG 30 April – Penghuni Apartmen Megah Villa, Kota Warisan di sini
semakin bimbangkan keselamatan diri dan keluarga mereka berikutan mendapan
tanah yang berlaku di hampir kesemua 12 blok apartmen tersebut, semakin
buruk dan melebar saban hari.
Jika dilihat dari jauh, apartmen tersebut memang tidak ada cacat-celanya.
Dengan hiasan landskap yang menarik dan bangunan yang masih berkeadaan baik,
tiada siapa menyangka bangunan yang baru berusia lima tahun itu kini diancam
bahaya.
Mendapan tanah tersebut telah mengakibatkan terbentuknya ruang kosong atau
lubang antara tapak apartmen itu dengan tanah setinggi kira-kira 15
sentimeter di sekeliling setiap blok apartmen tersebut.
Lubang itu kini semakin hari semakin besar sehingga menyebabkan air
bertakung dan menjadi sarang binatang liar seperti biawak dan ular selain
sebagai tempat pembiakan nyamuk aedes.
Akibat mendapan itu juga, penghuni apartmen kos rendah lima tingkat itu
mendapati saluran kumbahan bawah tanah telah bocor atau pecah menyebabkan
air kumbahan melimpahi ke tempat letak kereta seterusnya ke jalan raya.
Bukan sahaja mereka terpaksa menahan bau busuk, tinjauan Utusan Malaysia
mendapati, air limpahan air itu yang tidak pernah kering turut mengundang
nyamuk aedes untuk membiak di situ.
Keadaan akan bertambah buruk apabila hujan lebat sehingga menyebabkan
longkang dan saluran air tersumbat seterusnya berlaku banjir kilat.
Risiko 2,000 penduduk terkena serangan denggi juga sangat tinggi apabila
ribuan nyamuk yang membiak di kawasan itu akan ‘muncul’ pada waktu senja
untuk mencari mangsa sehingga ke tingkat paling atas apartmen itu.
Tidak tahan dengan gangguan nyamuk dan tidak mahu menjadi mangsa serangga
pembawa penyakit itu, penduduk mengambil inisiatif memasang jaring di setiap
tingkap sementara menanti pihak penyelenggara melakukan penyemburan kabus
setiap dua bulan sekali.
Selain itu, apartmen itu juga turut mengalami kerosakan di bahagian bumbung
menyebabkan air hujan meleleh ke dalam beberapa unit kediaman.
Menurut salah seorang penduduk di situ, Mohd. Ali Omar, 33, merangkap Ketua
UMNO Cawangan Megah Villa, walaupun masalah-masalah tersebut sudah beberapa
kali diadukan kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), namun tiada
tindakan diambil.
“Kami telah membuat aduan sejak tiga tahun lalu dan meminta diadakan dialog
dengan pihak SPNB; Majlis Perbandaran Sepang; pemaju Gema Padu Sdn. Bhd. dan
Persatuan Penduduk Megah Villa bagi menyelesaikan masalah ini.
“Tetapi sampai ke hari ini belum ada sebarang maklum balas daripada
pihak-pihak yang berkenaan kecuali janji-janji untuk mengatasi masalah ini,”
katanya.
Mohd. Ali berkata, sebanyak 960 unit rumah apartmen berkenaan juga masih
belum mendapat sijil layak menduduki (CF) walaupun mereka telah menetap di
situ sejak lima tahun yang lalu.
Katanya, hak milik strata juga masih tidak dikeluarkan sehingga ke hari ini.
“Mungkin status ‘rumah kos rendah’ menyebabkan masalah-masalah yang timbul
ini juga dipandang rendah... supaya sesuai dengan namanya,” katanya yang
ternyata kecewa dengan sikap tidak ambil berat semua pihak yang berkenaan.
Sebagai satu tindakan protes, penduduk kini tidak lagi membayar yuran
penyelenggaraan apartmen tersebut. Hanya 70 penghuni apartmen itu masih
patuh membayar yuran itu daripada 960 unit rumah di situ.
Walaupun penduduk terpaksa berdepan dengan risiko jenayah akibat kawasan
tidak berpagar dan tiada pengawal keselamatan, namun ia tidak begitu
membimbangkan mereka.
Apa yang lebih menggusarkan mereka ialah mendapan yang semakin teruk yang
dikhuatiri boleh menyebabkan apartmen itu tumbang dan kematian akibat denggi.
“Apartmen ini baru berusia lima tahun tetapi pelbagai masalah sudah timbul.
Apa agaknya akan berlaku dalam lima tahun akan datang.
“Mungkin pihak berkuasa menunggu kematian atau perkara lain yang tidak
diingini berlaku barulah mengambil tindakan,” ujar Mohd. Ali dengan nada
kesal. |