This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Megah Villa: SPNB sudah ambil tindakan

08/05/2008 Utusan Online


KUALA LUMPUR Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menafikan dakwaan pihaknya tidak mengambil tindakan terhadap masalah mendapan yang berlaku di Pangsapuri Megah Villa di Kota Warisan, Sepang.Pengarah Urusannya, Datuk Mohd. Amin Mohd. Salleh berkata, pihaknya sudah mengajukan masalah itu kepada pemaju pangsapuri itu, Gema Padu Sdn. Bhd. (GPSB) supaya tindakan segera diambil terhadap masalah tersebut.

Malah, katanya, pada 7 September tahun lalu, satu lawatan untuk memeriksa keadaan di pangsapuri itu telah diadakan oleh SPNB bersama-sama dengan GPSB.

"Hasil lawatan itu, GPSB telah bersetuju untuk membaiki masalah mendapan tanah yang berlaku di sekeliling bangunan pangsapuri yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Pada 1 Mei lalu, Utusan Malaysia melaporkan kebimbangan penduduk pangsapuri yang berusia lima tahun itu terhadap masalah mendapan yang didakwa mereka sebagai semakin serius.

Penduduk mendakwa, mendapan itu telah menyebabkan wujudnya satu ruang besar antara lantai pangsapuri dengan tanah sehingga boleh menjadi sarang haiwan berbisa dan pembiakan nyamuk.

Mendapan itu juga didakwa telah menyebabkan saluran kumbahan bawah tanah pecah, mengakibatkan air kumbahan yang berbau busuk bertakung di kawasan pangsapuri itu.

PembaikanMohd. Amin berkata, GPSB telah mula melaksanakan kerja-kerja pembaikan di Blok J pada 15 September tahun lalu dan SPNB akan memastikan GPSB menjalankan kerja-kerja pembaikan pada semua blok yang terlibat secepat mungkin.

Bagi kerja-kerja penyemburan kabus (fogging) pula, beliau berkata, SPNB melalui kontraktor yang dilantik melakukan aktiviti tersebut pada setiap bulan dan bukannya dua bulan sekali seperti yang didakwa oleh penduduk.

"Begitu juga dengan masalah kerosakan bumbung. Pihak SPNB telah dan akan memperbaikinya setiap kali aduan diterima," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta penghuni pangsapuri Megah Villa supaya menjelaskan bayaran perkhidmatan yang tertunggak kepada pihak pengurusan bangunan bagi membolehkan aktiviti penyenggaraan dan menjaga kebersihan diteruskan tanpa gangguan.

Mengenai sijil layak menduduki (CF) dan hak milik strata, Mohd. Amin menjelaskan bahawa ia adalah tanggungjawab GPSB selaku pemaju projek itu.

Bagaimanapun, katanya, CF telah pun dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Sepang pada 14 Jun 2005 manakala hak milik strata telah didaftarkan pada 20 September tahun lalu.

"Pihak SPNB telah menerima hak milik strata tersebut daripada GPSB pada 17 Januari lalu dan memaklumkan kepada pemilik rumah terbabit pada awal bulan lalu.

"Malah, pada 26 dan 27 April lalu, satu majlis menandatangani Memorandum Pindak Milik telah diadakan di pangsapuri itu," jelas beliau.

Mohd. Amin berkata, Badan Pengurusan Bersama Megah Villa juga telah ditubuhkan pada 11 April lalu dan segala masalah berhubung pangsapuri itu seharusnya diajukan kepada jawatankuasa yang dilantik supaya tindakan sewajarnya dapat diambil dengan segera.

SPNB yang merupakan syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan adalah pemilik pangsapuri Megah Villa selepas membelinya secara pukal daripada GPSB.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.