Kesabaran kami ada had -
Pembeli
12/05/2008 Utusan Online
KUALA LUMPUR 11 Mei - ''Sudah enam tahun kami menanti. Kami hanya mahu sijil
layak menduduki (CF) dengan segera,'' kata mereka.
Begitulah rungutan 96 pembeli projek perumahan Fasa 10, Taman Puncak Jalil
yang tidak dapat memiliki rumah disebabkan keengganan pemaju memohon CF
untuk mereka.
Rata-rata penduduk kecewa dengan tindakan pemaju yang enggan menyerahkan CF
tersebut walaupun rumah mereka telah siap dibina dan selamat untuk diduduki.
Seorang penduduk yang ditemui, Neisha Ahmad, 44, memberitahu, keadaannya
yang menghidap penyakit buah pinggang menyebabkan dia terpaksa mendesak
supaya pemaju memberikan CF tersebut secepat mungkin.
Menurutnya, ini kerana, dia tidak mampu untuk menanggung kos perbelanjaan
hidup yang tinggi serta terpaksa membayar sewa rumah yang diduduki kini dan
serta kos rawatan penyakitnya.
"Sudah enam tahun saya mendiamkan diri, namun kesabaran saya ada hadnya
kerana pemaju seperti memijak kepala pembeli apabila enggan menyerahkan CF
rumah tersebut.
"Lebih mengejutkan mereka minta pula kami (pembeli) melupakan pemberian
Kecairan Bayaran Ganti Rugi Ditetapkan (LAD) akibat kelewatan projek
tersebut siap.
"Ini tidak adil kerana masalah tersebut berpunca daripada pihak mereka, jadi
mengapa kami pula yang menjadi mangsa. Sebagai pembeli, kami berhak menuntut
hak kami untuk mendapatkan LAD itu,"jelasnya.
Seorang lagi pembeli, Yeoh Cheng Lim, melahirkan rasa ketidakpuasan hatinya
kerana keengganan pemaju memberikan CF tersebut hanyalah kerana alasan yang
tidak munasabah.
"Pemaju memberikan alasan bahawa mereka perlu menyiapkan 3,000 unit rumah
lain sebelum dapat menyerahkan CF rumah kami.
"Bagaimanapun, apa yang kami tidak puas hati ialah unit-unit rumah tersebut
baru sahaja dimulakan pembinaannya, jadi berapa lama lagi kami harus tunggu
untuk mendapatkan CF tersebut.
"Jadi, saya amat berharap supaya pemaju memikirkan alasan yang lebih
munasabah dan jangan menipu pembeli lagi. Kami hanya mahukan CF kami sahaja,"
ujarnya.
Keluhan Cheng Lim disokong seorang lagi pembeli, Zainal Mat, 33, yang
terpaksa menanti sekian lama untuk memiliki rumah kediamannya.
"Saya sudah lama menyewa, jadi saya harap sangat dapat tinggal di rumah
sendiri yang lebih selesa.
"Sekiranya, pemaju tidak menyerahkan CF tersebut kepada kami secepat mungkin,
kami bercadang untuk tinggal sahaja di rumah tersebut tanpa CF dan kemudahan
infrastruktur yang lengkap.
"Kami tiada pilihan lain kerana rumah tersebut adalah rumah kami," ujarnya. |