This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Harapan pembeli cerah
18/05/2008 Utusan Online Oleh A. JAILANI ABDULLAH

KUALA LUMPUR 14 Mei - 'Cahaya di hujung terowong'.

Frasa itu mungkin sesuai untuk menyatakan situasi semasa terhadap masalah yang dihadapi oleh pembeli-pembeli rumah Kumpulan Talam Corporation Berhad di sekitar Puchong, Selangor yang terbengkalai dan ada antaranya sehingga enam tahun.

Berdasarkan keadaan semasa, kebuntuan pembeli-pembeli rumah itu kelihatan akan terlerai selepas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainudin campur tangan dengan menganjurkan mesyuarat di pejabatnya di Pusat Bandar Damansara Isnin lalu.

Mesyuarat tersebut bertujuan mempertemukan buat pertama kali Talam, IJM Corporation Berhad dan wakil-wakil pembeli terbabit dengan kehadiran menteri atau timbalan menteri kementerian berkenaan.

Walaupun pertemuan terbaru itu hanya menghasilkan persetujuan bahawa satu lagi mesyuarat akan diadakan pada hujung bulan ini, namun terlihat bahawa jalan penyelesaian kepada masalah itu semakin hampir.

Menurut Hamzah, mesyuarat yang ditetapkan itu adalah bagi memberi ruang kepada Talam untuk menyelesaikan beberapa masalah termasuk kewangan dan perjanjiannya dengan IJM.

IJM merupakan kontraktor utama yang dilantik oleh mereka untuk mengambil alih projek-projek terbengkalai itu, sebelum kertas cadangan penyelesaian sebenar dimuktamadkan.

Walaupun kecewa dengan keputusan terpaksa menghadiri satu lagi mesyuarat, namun wakil-wakil pembeli berkata, mereka agak lega kerana kebuntuan masalah itu telah ditangani sendiri oleh peringkat tertinggi selepas bertahun-tahun berunding dengan pihak bawahan.

Jawatankuasa yang terlibat dalam mesyuarat itu ialah Jawatankuasa Bertindak Pembeli-Pembeli Taman Puncak Jalil Fasa 10A, Taman Saujana Puchong 9, Taman Lestari Permai, Taman Lestari Puchong, Taman Lestari Perdana dan Bandar Saujana Putra.

Hamzah juga menjelaskan bahawa beberapa perjanjian yang dibuat sebelum ini termasuk tarikh rumah-rumah itu akan disiapkan seperti yang terhasil dalam pertemuan minggu lalu antara pembeli-pembeli dengan Timbalan Ketua Pengarah Perumahan, Dr. G. Parameswaran adalah terbatal.

Beliau kemudian memberitahu pemberita bahawa pihaknya menganjurkan pertemuan itu bukan kerana tekanan daripada mana-mana pihak.

Ia sebaliknya diadakan atas berasa tanggungjawab kementeriannya untuk menyelesaikan projek-projek rumah terbengkalai termasuk yang dibawa oleh jawatankuasa bertindak bersama bagi enam projek terbengkalai di bawah Talam.

"Saya mengambil inisiatif sebab projek ini telah begitu lama terbengkalai. Menteri (Datuk Seri Ong Ka Chuan) arahkan saya untuk melihat dan mengambil inisiatif selesaikan dan memberi kebaikan kepada semua pihak.

"Saya melihat isu ini boleh diselesaikan. Sebenarnya, sebelum mereka datang ke sini minggu lalu lagi, pihak menteri telah memutuskan dan dimaklumkan dalam mesyuarat pasca Kabinet untuk selesaikan isu ini," jelasnya.

"Tidak ada tekanan daripada sesiapa, bukan kerana mereka (pembeli-pembeli) nak berarak ke Parlimen. Kami telah mengaturkan mesyuarat ini dengan Talam dan IJM lebih awal daripada itu," katanya apabila ditanya sama ada pertemuan itu dibuat kerana pada minggu lalu gabungan jawatankuasa bertindak itu memberi kata dua iaitu mereka akan berarak ke Parlimen jika mesyuarat terbaru itu tidak dihadiri oleh menteri atau timbalannya.

"Saya akan berusaha untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamzah berkata, pihaknya sedang merangka satu dasar - jika diluluskan kelak, akan menyaksikan pemaju-pemaju perumahan perlu mematuhi syarat-syarat lebih ketat.

"Perkara ini masih di peringkat kajian oleh pihak Kementerian. Ia dinamakan Dasar Perumahan Negara yang akan menggariskan peraturan-peraturan lebih ketat ke atas pemaju-pemaju.

"Sebelum diluluskan, kami akan memanggil pemaju-pemaju untuk mendapatkan juga pandangan mereka untuk lihat kaedah-kaedah yang boleh memberikan kemudahan kepada para pembeli dan pemaju.

"Dasar ini tidak akan memberi lebih kuasa kepada Kementerian tetapi akan mengurangkan projek-projek terbengkalai," ujarnya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.