This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Cadang tubuh tribunal pembeli rumah
14/05/2008 Utusan Online

KUCHING 13 Mei - Kerajaan negeri sememangnya berhasrat untuk menubuhkan Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah di Sarawak dengan mengambil contoh pelaksanaannya di Semenanjung dan Sabah sebagai panduan.

Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Seri Abang Johari Tun Abang Openg bagaimanapun berkata, kerajaan mahu melihat dan memantau keberkesanan kod amalan pemaju-pemaju perumahan yang telah dilancarkan oleh pihak Persatuan Pemaju-Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) terlebih dahulu sebelum memutuskan penubuhan tribunal berkenaan.

Menurutnya, Sabah baru saja menubuhkan tribunal seumpama itu sembilan bulan lalu dan Sarawak akan mengkaji kerangka kerja tribunal di negeri tersebut sebagai panduan di negeri ini.

''Cadangan untuk menubuhkan tribunal di Sarawak akan dikaji dari semua sudut dan memerlukan pindaan kepada Peraturan Pemaju-Pemaju Perumahan (Kawalan & Pelesenan) 1998,"katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari turut menarik perhatian semua ahli DUN mengenai masalah tunggakan Projek Pinjaman Rancangan Rumah Panjang Rakyat di bawah pelaksanaan kerajaan negeri.

Beliau berkata, sehingga Disember tahun lalu sebanyak RM8.2 juta iaitu 51.1 peratus hutang ditanggung oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC).

Katanya, keseluruhan pembangunan adalah melibatkan sejumlah 317 projek merangkumi 7,605 pintu membabitkan jumlah pinjaman yang sepatutnya dibayar balik sebanyak RM14.7 juta.

Tambahnya, bagi projek yang sama di bawah Kerajaan Persekutuan pula sepatutnya pinjaman yang dibayar balik adalah RM14.6 juta melibatkan sejumlah 379 pintu.

''Bagaimanapun, daripada jumlah peruntukan tersebut, HDC menghadapi masalah tunggakan sebanyak RM12.5 juta iaitu 85.7 peratus.

''Sehubungan itu, saya menyeru kerjasama semua ahli DUN untuk membantu HDC bagi mendapat balik pinjaman di bawah Projek Pinjaman Rumah Panjang Rakyat di kawasan masing-masing dan menasihat peminjam-peminjam supaya berusaha melangsaikan tunggakan," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.