10 tahun menanti Plaza Rakyat
21/05/2008 Utusan Online Oleh Farah Musa
KUALA LUMPUR 20 Mei - Kegawatan ekonomi pada 1997-1999 sememangnya
memberikan tamparan yang hebat kepada keadaan politik dan sosioekonomi
negara ini.
Entah berapa banyak syarikat yang tumbang disebabkan kegawatan ekonomi
ketika itu memang tidak terkira banyaknya.
Ramai yang tidak percaya pada ketika itu apabila pakar-pakar ekonomi
meramalkan negara memerlukan tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun untuk pulih
sepenuhnya.
Dan sudah sedekad lamanya kegawatan itu berlaku, kesannya masih dapat
dilihat sampai sekarang apabila terdapat banyak bangunan atau projek yang
terbengkalai di ibu negara akibat kegawatan tersebut, sampai sekarang.
Terdapat di antara projek tersebut yang telah bertukar tangan beberapa kali
dengan harapan ia dapat diteruskan tetapi sampai sekarang tidak juga dapat
disiapkan.
Salah sebuah projek mega pada masa itu yang masih terbengkalai sampai
sekarang ialah bangunan Plaza Rakyat yang terletak bersebelahan Hentian Pudu
Raya.
Kewujudan projek terbengkalai itu bukan sahaja merugikan semua pihak yang
melabur di dalamnya malah ia mencacatkan landskap Kuala Lumpur.
Tanpa disedari, sudah lebih 10 tahun penungguan orang ramai untuk merasai
perhentian bas yang baru di Plaza Rakyat sekadar tinggal harapan.
Difahamkan, bangunan itu dibina bertujuan untuk dijadikan sebagai pusat
pengangkutan awam bersepadu.
Projek dianggarkan bernilai RM419.999 juta ini diserahkan oleh kerajaan
kepada Plaza Rakyat Sdn. Bhd. (PRSB) dan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL)
selaku pemaju bersama dalam projek ini.
Ia dijangka siap sepenuhnya pada 31 Mei 2007 mengikut janji terakhir
diberikan tetapi sehingga ke hari ini projek ini masih belum disiapkan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati bangunan tersebut bukan sahaja masih
belum siap malah tiang-tiang terbiar sehingga keadaan bangunan kelihatan
menjadi terlalu buruk.
Selain itu, bumbung bangunan juga masih belum dipasang sedangkan projek ini
sudah lebih 10 tahun bermula.
Lebih menyedihkan lagi, akibat daripada projek ini, rakyat terpaksa
menanggung masalah lain iaitu kesesakan lalu lintas di sepanjang jalan
menuju ke Pudu Raya.
Keadaan ini berlaku ekoran ketiadaan tempat untuk dijadikan perhentian bas
memandangkan di Hentian Pudu Raya sudah sesak dan pemandu bas terpaksa
meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan sehingga menyebabkan jalan menjadi
sempit serta berlaku kesesakan.
Berdasarkan pemerhatian Utusan Malaysia, jalan yang terdapat di situ begitu
sempit dan sering berlaku kesesakan serta ditambah pula dengan kehadiran bas
di tepi-tepi jalan, membuatkan dua lorong jalan yang dilalui sekadar menjadi
satu sahaja.
Situasi ini menyukarkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung kerana
terpaksa berjalan agak jauh untuk mendapatkan bas dan mereka terpaksa
menaikinya ditepi jalan.
Namun, apa yang dapat dilihat kini, di sekeliling bangunan tersebut telah
dipasang dengan pagar dan kelihatan beberapa orang pekerja sedang berada di
dalam kawasan bangunan yang seterusnya menimbulkan persoalan di kalangan
orang awam.
Utusan Malaysia juga cuba untuk memasuki kawasan bangunan itu untuk melihat
dengan lebih jelas keadaan di dalam bangunan itu tetapi pengawal yang
bertugas tidak membenarkan menghampiri dan memasuki ke kawasan itu.
Apa yang membimbangkan jika bangunan itu terus dibiarkan tanpa ada sebarang
usaha untuk menyiapkannya, dikhuatiri ia akan menjadi sarang penagih dadah
dan tempat tinggal pendatang asing.
Jika bangunan ini siap, ia bukan sahaja memudahkan perkhidmatan bas dan
orang ramai yang ingin balik ke kampung, malah perkhidmatan teksi juga akan
dapat beroperasi dengan lebih lancar.
Malah apabila projek ini siap, ia akan menjadi satu lagi mercu tanda ibu
kota dan secara tidak langsung menjadi tempat pelancongan bagi pengunjung
yang datang ke negara ini. |