Tangani rumah terbengkalai
02/04/2008 Utusan Malaysia
PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) memandang berat berhubung rekod
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menunjukkan bagaimana
keseluruhan projek terbengkalai bagi tempoh 1990 hingga 2005 begitu
bermasalah.
Sama ada perkara ini berpunca daripada sikap pembeli atau pengurusan
kementerian berkenaan atau pemaju sendiri, ia haruslah ditangani dengan
saksama demi untuk menjaga kepentingan pengguna.
Bermula dari 1990 hingga 2005, daripada rekod Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan yang tercatat menunjukkan 261 projek perumahan
terbengkalai dengan 88,410 buah rumah, nasib yang buruk dan tidak adil ini
telah dialami oleh seramai 58,685 pembeli.
Permintaan untuk membeli rumah sebenarnya tidak pernah berkurangan sama ada
rumah kos rendah, sederhana atau kos tinggi. Daripada iklan-iklan yang
dikeluarkan, pembeli seperti tidak ada masalah apabila bank-bank telah
mengeluarkan tawaran pinjaman.
Namun apa yang berlaku di sebaliknya, ramai yang teraniaya, tertipu dan
mengeluh kerana rumah yang mereka impikan itu tidak menjadi kenyataan.
Adakah pembeli tidak mempunyai pengetahuan yang cukup atau pembeli tidak
mengetahui hak-hak mereka sebagai pembeli?
CAP telah membuat analisis dalam perkara ini dan mendapati terdapat banyak
sebab antaranya ialah agensi kerajaan yang meluluskan projek lambat membuat
keputusan sehingga harga meningkat.
Selain itu, pemaju mengalami masalah kewangan dan sijil kelayakan menduduki
rumah (CF) lewat diperoleh walaupun rumah itu telah siap. Pemaju juga
mengambil wang pendahuluan dan menyimpannya bertahun-tahun atau menampung
projek yang lain sedangkan rumah belum diperuntukkan.
Di samping itu pembinaan tidak mengikut spesifikasi, rumah kos rendah dibina
di kawasan berlainan sedangkan harganya sama dan pembinaan juga tidak
sempurna.
Pembeli membayar secara tunai tetapi gagal mendapat hak milik daripada bank
yang membiayai projek itu kerana pemaju enggan membayar hutang kepada bank
dan faedah yang dikenakan juga terlampau tinggi. Akhir sekali pemaju melepas
tangan selepas projek itu siap tetapi tidak sempurna.
Projek perumahan dianggap terbengkalai apabila kerja-kerja pembinaan dan
pemajuan di tapak terhenti selama enam bulan atau lebih secara berterusan
sama ada dalam tempoh masa siap atau di luar masa siap mengikut Perjanjian
Surat Jual Beli.
Projek perumahan juga dianggap terbengkalai apabila pemaju yang tidak
berupaya meneruskan projek masing-masing atau apabila pengawal perumahan
berpendapat pemaju-pemaju tidak dapat lagi meneruskan tanggungjawab mereka
sebagai pemaju.
Projek terbengkalai ini mula dikenal pasti pada tahun 1983 lagi dan bagi
tujuan pemulihan satu Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai telah ditubuhkan
oleh Bank Negara pada tahun 1990 di mana Syarikat Tabung Pemulihan Projek
Terbengkalai Sdn. Bhd., diberi tanggungjawab untuk mengkaji dan memulihkan
projek.
Apa pun alasan dan sebab, pembeli adalah orang pertama yang teraniaya,
puluhan ribu meminjam bank, belum pun merasai nikmat tinggal di dalamnya,
bayaran bulanannya sudah pun bermula.
Sehubungan itu, CAP mengesa supaya pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan
Tempatan mengambil langkah dan tindakan yang aktif dan berkesan bagi
menangani masalah perumahan terbengkalai ini agar pembeli rumah mendapat hak
mereka yang sepatutnya.
– S.M. MOHAMED IDRIS
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang. |