Taman Bidara Palma siap
November ini
09/04/2008 Utusan Online
MELAKA 8 April – Projek perumahan Taman Bidara Palma Fasa Dua di Alor Gajah
di sini, yang terbengkalai sejak 10 tahun lalu akan siap menjelang November
depan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan & Pembangunan Pekan Kecil dan Pemulihan
Projek negeri, Datuk Abdul Ghaafar Atan berkata, jaminan itu dinyatakan
sendiri oleh pemaju yang berjanji akan menyambung semula projek tersebut
pada Jun depan.
Katanya, beliau difahamkan, terdapat 182 unit rumah, terbabit dengan kerja
pemulihan projek tersebut.
‘‘Ini termasuk rumah teres sederhana jenis B yang terdiri 89 unit sudah
dibeli oleh 85 orang dan kini mencapai hampir 75 peratus untuk siap,”
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau tapak projekprojek
terbengkalai di sekitar Alor Gajah di sini hari ini.
Abdul Ghaafar menambah, selain itu, projek terbabit juga termasuk banglo
setingkat yang mempunyai 11 unit yang sudah mempunyai pembeli dan kini
mencecah 65 peratus untuk siap.
Dalam pada itu, beliau mengarahkan Jabatan Teknikal Majlis Perbandaran Alor
Gajah (MPAG) agar membantu pemaju terbabit mempercepatkan projek pembinaan
khususnya dalam aspek teknikal.
Dijual
Mengenai projek Taman Bidara Palma Fasa Satu seluas 21.85 hektar melibatkan
pembinaan 106 unit pula, beliau berkata, kesemua unit rumah itu walaupun
habis dijual tetapi masih tidak mempunyai Sijil Layak Menduduki (CF).
Menurut Abdul Ghaafar, ini kerana timbul masalah teknikal dari segi
pembentungan dan pemaju projek terbabit telah diarah melaksanakan sistem
pembentungan mengikut piawaian yang ditetapkan.
‘‘Saya beri tempoh dalam bulan ini sahaja kepada pemaju untuk menyiapkan
sistem pembentungan yang ditetapkan.
‘‘Kemudian, barulah MPAG mengeluarkan CF segera,” kata beliau.
Sementara itu, beliau meminta pihak pemaju terbabit dan agensi kerajaan
berkaitan agar menjalin kerjasama yang sewajarnya bagi memastikan projek itu
siap mengikut jadual.
Ini katanya, sekali gus meringankan masalah yang ditanggung oleh pembeli
rumah sejak 10 tahun lalu.
Abdul Ghaafar turut melahirkan rasa simpati terhadap bebanan masalah yang
ditanggung pembeli kerana terpaksa membuat bayaran kepada pihak bank, tetapi
rumah masih belum dapat disiapkan biarpun sudah beberapa kali projek
tersebut bertukar syarikat pemaju.
‘‘Kita selaku kerajaan negeri akan bertindak sewajarnya ke atas pemaju jika
mereka masih gagal menunaikan janji untuk menyiapkan projek mengikut jadual,”
tegas beliau.
|