Penduduk bantah projek di
Jalan Travers
07/04/2008 Utusan Online
KUALA LUMPUR Penduduk kondominium High Bank, Sri Bukit Persekutuan membantah
langkah DBKL meluluskan pembangunan baru di tanah simpanan polis di Jalan
Travers di sini.
Wakil penduduk, Tan Lye King berkata, penduduk hairan walaupun tanah
tersebut yang masih di bawah nama Pengarah Harta Persekutuan boleh
diluluskan pembangunannya oleh DBKL.
Beliau mendakwa, projek berkenaan juga bertentangan dengan Pelan Struktur
Kuala Lumpur 2020.
“Kami bersama-sama dengan Badan Warisan Malaysia dan Persatuan Pencinta Alam
Malaysia telah memungut 6,000 tandatangan untuk menyatakan bantahan terhadap
projek itu,’’ katanya.
Difahamkan, projek di atas tanah seluas 2.5 hektar itu adalah untuk membina
tiga blok pejabat setinggi 16 hingga 35 tingkat.
Seorang lagi wakil penduduk, C.K Lim, 50, berkata, kondominium yang mereka
duduki kini bakal terlindung dengan deretan blok pejabat sekiranya projek
itu tetap dibangunkan.
“Penduduk di sini telah dijanjikan oleh pemaju dan DBKL sebelum ini bahawa
tiada pembangunan akan dijalankan di sekeliling kawasan perumahan ini,’’
katanya.
Katanya, keadaan trafik di Jalan Travers dan sekelilingnya juga akan sesak
dengan lebih teruk apabila blok pejabat dibina di situ.
Katanya, ramai penduduk di situ yang terdiri daripada peserta program
‘Malaysia Second Home’ juga kesal dengan projek itu dan ia akan menjejaskan
nama baik Malaysia sebagai satu destinasi pelaburan hartanah yang berpotensi.
|