This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pendekatan konsep ‘bina dan jual’ lebih adil
06/04/2008 Berita Harian

GABUNGAN Persekutuan Pengguna Malaysia (Fomca) tetap dengan pendirian mereka mahu kerajaan meminda Akta Pemaju Perumahan dengan mewajibkan semua pemaju melaksanakan konsep ‘bina dan jual’ bagi menangani masalah projek terbengkalai yang mendatangkan masalah kepada pembeli selama ini.

Pengarah Komunikasinya, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata meskipun semua pihak menyedari dengan pelaksanaan sepenuhnya konsep itu akan menyebabkan kenaikan harga rumah sebanyak 10 hingga 20 peratus, ia masih boleh diterima kerana pembeli berpeluang membuat pilihan tepat dan membeli rumah berdasarkan kepuasan hati mereka.

Beliau berkata, membeli rumah adalah satu pelaburan besar yang kadangkala hanya dibuat sekali dalam seumur hidup. Justeru, pembeli menaruh harapan tinggi rumah yang dibeli dapat dimiliki seperti apa yang diiklankan dan tidak menghadapi masalah termasuk terbengkalai.

“Konsep bina dan jual sama seperti proses jual beli kereta. Pembeli dapat peluang masuk ke dalam kereta, duduk dan rasa keselesaannya. Belek itu ini dan selepas benar-benar berpuas hati, baru urusan jual beli dimulakan.

“Itupun, selepas memiliki kereta, sebarang kecacatan atau kerosakan selepas memperoleh kereta itu, pembeli boleh dengan segera mendapat khidmat pembaikan atau penggantian terhadap apa saja yang tidak menepati spesifikasi.

“Berbeza dengan membeli rumah dengan konsep sedia ada di negara ini. Pembeli hanya melihat rumah contoh yang kononnya menggambarkan rumah yang bakal dimiliki sangat cantik sedangkan ia belum pasti dan apa saja boleh berlaku dalam tempoh dua tahun menunggu rumah itu siap. Ini yang tidak adil kepada pembeli,” katanya.

Merujuk kepada alasan kementerian bahawa dengan mengamalkan konsep ‘bina dan jual’ bakal menyebabkan banyak pemaju tidak mampu beroperasi, Mohd Yusof berkata, itu tidak boleh diterima kerana industri pembinaan bukan seperti menjual ikan di pasar.

Katanya, sesiapa saja yang mahu terbabit secara serius dalam industri itu mesti memiliki modal yang besar dan mencukupi kerana bagi menceburi satu industri besar, pemaju perlu sedar bahawa pelaburannya juga besar.

“Apa yang berlaku sekarang, siapa saja boleh menceburi industri ini. Nampak seperti sangat mudah tanpa memerlukan modal yang besar. Namun, akhirnya banyak juga projek yang terbengkalai dan pembeli terus menjadi mangsa.

“Apabila pemaju tidak mampu meneruskan projek dan gulung tikar, apa akan jadi kepada pembeli? Perkara sebegini perlu diteliti dan dicari penyelesaian segera.

“Jika kerajaan terus memberi alasan negara ini belum bersedia melaksanakan konsep ‘bina dan jual’, saya nak tanya kerajaan, sampai bila mereka nak bersedia? Bukan tak ada contoh projek bina dan jual yang berjaya. Tak ada pula sebarang masalah,” katanya.

Mengenai kemungkinan keengganan pihak bank membiayai projek berkonsepkan ‘bina dan jual’ beliau berkata projek perumahan adalah satu projek berpotensi tinggi dan sewajarnya bank tidak takut untuk menyalurkan pembiayaan.

Katanya, jika ia tetap menjadi masalah, kerajaan perlu mewujudkan satu tabung dana perumahan bagi membantu sesuatu projek pada peringkat awal.

Selain itu, beliau berkata, prosedur kerajaan yang mensyaratkan setiap pemaju mesti menyediakan kemudahan prasarana yang lain ketika memajukan kawasan perumahan perlu dikaji semula kerana ia menjadi salah satu faktor ramai pemaju tidak ada keupayaan mencukupi mendirikan rumah dengan konsep bina dan jual.

“Sepatutnya, pemaju hanya membina rumah. Urusan untuk menyediakan prasarana harus diambil alih oleh kerajaan atau Pihak Berkuasa Tempatan. Dengan Kaedah itu, barulah harga rumah tak melambung tinggi dan pemaju mampu memberi fokus kepada pembinaan rumah saja.

“Ataupun, satu pendekatan lain yang boleh digunakan ialah usaha sama antara kerajaan negeri dan pemaju dengan memberi tanah kepada pemaju untuk dimajukan. Pemaju hanya bina rumah di situ tanpa perlu membeli tanah.

“Bagi meningkatkan pemantauan dan mengelak berlaku penyelewengan pula, arkitek atau jurutera mestilah disediakan oleh kementerian, bukan arkitek yang dilantik sendiri oleh pemaju supaya ia benar-benar telus dan dipantau sepenuhnya,” katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.