Pembeli Lestari Permai
bertegas
14/04/2008 Utusan Online Oleh A. JAILANI ABDULLAH
PUCHONG 13 April – Para pembeli rumah Taman Lestari Permai di sini meminta
kerajaan negeri dan juga Pusat membantu menyelesaikan masalah mereka yang
telah menanti selama tiga tahun untuk melihat rumah disiapkan.
Menurut mereka, taman itu sepatutnya disiapkan oleh pemaju, Talam
Corporation pada awal 2005 tetapi selepas kira-kira tiga tahun berlalu hanya
sekitar 70 peratus kerja yang disiapkan.
Pengerusi jawatankuasa bertindak, Ali Hanafiah Mohamed berkata, mereka telah
berusaha menyelesaikan masalah itu dengan menemui semua agensi berkenaan.
Malah, mereka meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)
memainkan peranan lebih besar selepas kecewa dengan agensi termasuk Lembaga
Perumahan dan Pembangunan Bandar, Kerajaan Negeri Selangor dan Biro
Pengaduan Awam.
“Dengan KPKT sahaja kami telah mengadakan pertemuan sebanyak dua kali.
“Namun, sehingga kini semua usaha kami nampaknya tidak berhasil. Aduan kami
ditolak ke sana ke sini dan akhirnya kami terpaksa terus menunggu sedangkan
pinjaman bank terpaksa dibuat.
“Kebanyakan pembeli rumah di sini berpendapatan kecil, terpaksa menggunakan
nama suami dan isteri untuk membuat pinjaman,” kata Ali Hanafiah sewaktu
ditemui selepas mereka mengadakan mesyuarat di taman itu hari ini.
“Kami juga perlu membayar sewa rumah yang diduduki sekarang dan dengan baki
gaji yang kecil itu kami perlu juga membelanjakan duit untuk anak-anak
bersekolah dan sebagainya,” katanya.
Ahli jawatankuasa itu, Hasnol Hakim pula berkata, kebanyakan pembeli adalah
kakitangan kerajaan dengan pendapatan kecil.
Beliau juga mendakwa, mereka juga telah menghantar surat dan bertemu dengan
pihak pemaju.
“Kali terakhir kami bertemu, pemaju seperti mengugut kami. Mereka memberikan
kami pilihan iaitu menggugurkan tuntutan pampasan lewat siap jika kami mahu
rumah kami disempurnakan.
“Jika kami bersetuju membatalkan tuntutan itu, mereka berjanji akan
menyiapkan rumah kami,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, mereka sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan
khidmat peguam sebagai langkah terakhir.
Taman Lestari Permai, katanya, mengandungi 568 unit rumah teres satu tingkat
yang berharga dari RM132,000 hingga RM221,500.
Seorang lagi pembeli, Thamaraiselvan Thanapal, 49, juga melahirkan rasa
kesalnya dengan layanan pemaju ketika kali terakhir pertemuan diadakan
baru-baru ini.
“Kami ingin berjumpa pihak atasan syarikat tetapi hanya dibenarkan setelah
berlaku sedikit kekecohan. Kemudian kedatangan kami disambut seperti kami
ini peminta sedekah sedangkan mereka yang mendapat duit daripada kami.
“Mereka juga memberikan kata dua kepada kami supaya menggugurkan tuntutan
pampasan lewat sebagai syarat untuk mereka menyiapkan rumah kami, mengapa
dengan begitu mudah mereka mahu membatalkan perjanjian yang mereka sendiri
persetujui sebelum ini,” katanya, yang merupakan pembantu tadbir di Koperasi
Guru-guru Malaysia.
Seorang lagi pembeli, Tan Soo Chen, 34, berkata, masalah itu membuatkannya
hidup dalam keadaan tertekan.
“Impian kami sekeluarga ialah untuk menduduki rumah sendiri tetapi tidak
sangka begini jadinya,” katanya yang ketika ini menginap di rumah milik ibu
bapanya.
“Kami bukannya orang senang... selain perlu melunaskan pinjaman bank, kami
juga perlu menanggung perbelanjaan persekolahan anak-anak.
“Saya harap kerajaan membantu kami menyelesaikan masalah ini. Kalau bukan
kerajaan yang bantu, siapa lagi,” katanya. |