Pemaju tabur janji kosong
21/04/2008 Utusan Online Oleh
MUHAMMAD DAYNE AZMIN
Bantah... Para penduduk termasuk kanak-kanak menunjukkan rasa kecewa mereka
terhadap pemaju Andari Town Villa di Selayang Height, Selayang pada
perjumpaan dengan Subahan Kamal baru-baru ini.
SELAYANG 20 April – Disangkakan panas berpanjangan, rupanya hujan di waktu
petang, begitulah perumpamaan yang dapat dikaitkan dengan nasib kebanyakan
penduduk Andari Townvilla, Selayang Heights.
Dijanjikan keselesaan dan kemudahan yang pelbagai, namun realiti sebenar
perlu diterima oleh penduduk di sini ternyata hanya mimpi indah belaka.
Setelah tinggal lebih setahun, keluhan dan kemarahan penduduk di sini sudah
tidak dapat dibendung lagi.
Luahan penduduk ternyata ada kebenarannya kerana tinjauan Utusan Malaysia
mendapati pembangunan kawasan perumahan di sana sudah tidak teratur dan
kemudahan yang dijanjikan oleh pemaju cuma sekadar janji kosong semata-mata.
Baru-baru ini, satu perjumpaan di antara penduduk dengan Ahli Dewan Undangan
Negeri Taman Templer, Datuk Subahan Kamal telah diadakan bagi menyatakan
permasalahan sebenar mereka terhadap pemaju.
Bertempat di Rumah Kelab, seramai 200 penduduk membantah sambil memegang
sepanduk menyuarakan bantahan di atas dasar pemaju yang hanya mementingkan
keuntungan semata-mata.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penduduk, Osley Ahmad Nazri, masalah utama
dihadapi penduduk ialah ruang letak meletak kenderaan yang disediakan begitu
kurang jika dibandingkan dengan bilangan kenderaan sedia ada di sini.
‘‘Pada pelan susun atur yang telah diluluskan oleh Majlis Perbandaran
Selayang (MPS) pada 18 Februari 2008, butiran menyatakan bahawa pemaju
dikehendaki menyediakan secara keseluruhan sebanyak 502 petak meletak
kenderaan,’’ katanya.
Namun, setelah pengiraan dibuat oleh penduduk di sini mendapati hanya
terdapat sejumlah 449 petak meletak kenderaan disediakan di dalam kawasan
berpagar perumahan.
‘‘Pihak penduduk juga amat kesal dengan reka bentuk petak meletak kenderaan
yang disediakan kerana tiada zon anjakan antara dinding bangunan dengan
petak meletak kenderaan,’’ katanya.
Masalah penduduk bertambah rumit lagi apabila pemaju telah membina
penempatan baru di sekitar kawasan perumahan mereka yang akan menambahkan
lagi kepadatan bangunan di situ.
‘‘Jarak bangunan baru yang dibina terlalu berdekatan dengan kawasan
perumahan sedia ada malah bakal menjadikan kawasan Selayang Heights sesak
dan melemaskan,’’ katanya.
Selain itu, segala kemudahan lain seperti pokok landskap, pili bomba, TNB
Feeder Pillar, tiang lampu jalan dan longkang turut dipasang di atas petak
meletak kenderaan yang mencacatkan lagi suasana.
Katanya lagi, penduduk bertambah marah apabila banyak janji yang dibuat oleh
pemaju tidak ditunaikan seperti terkandung dalam iklan jualan sebelum ini.
‘‘Di antaranya ialah lot khas meletak kenderaan berbumbung untuk setiap
rumah masih tidak disediakan, tiada lot meletak motor disediakan, tiada
rumah sampah manakala kawalan keselamatan pula longgar,’’ katanya.
Tambah menyakitkan hati, saiz kolam renang yang diuar-uarkan begitu besar
langsung tidak mengikut spefikasi kerana terlalu kecil dengan nisbah 654
penduduk di sini.
Jarak di antara kolam renang dengan bangunan baru yang sedang dibina hanya
terpisah beberapa meter dan penduduk berasa hairan bagaimana projek
berkenaan dapat diteruskan oleh MPS.
Penduduk juga mempertikaikan kemudahan rumah kelab seperti kafe, kedai
runcit, salon, dobi dan nurseri yang masih belum beroperasi tetapi pemaju
pula menggunakan ruang niaga di sini sebagai pejabat operasi jualan mereka.
Sementara itu, Subahan yang juga Ketua Biro Pengaduan Awam UMNO semasa
menyatakan reaksinya kepada penduduk berharap penduduk di sini menggunakan
saluran yang betul untuk menyelesaikan masalah ini.
‘‘Saya akui apa yang dilakukan oleh pihak pemaju di sini hanyalah untuk
meraih keuntungan semata-mata dan berasa hairan mengapa projek yang sedang
berjalan sekarang mendapat kelulusan daripada Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan (KPKT),’’ katanya.
Oleh itu, beliau mempersoalkan siapa sebenarnya orang penting di belakang
projek ini kerana difahamkan penduduk di sini sudah tiga kali bertemu dan
berbincang dengan KPKT tetapi tiada jalan penyelesaian.
‘‘Bantuan peguam secara percuma akan saya berikan melalui Biro Aduan UMNO
dan selaku wakil rakyat di sini, saya berjanji akan membantu dan akan tunjuk
arah yang betul menyelesaikan masalah ini,’’ katanya.
Beliau turut menarik perhatian penduduk apabila mencabar menteri yang
bertanggungjawab di dalam hal ehwal KPKT agar meletak jawatan sekiranya
tidak mampu menyelesaikan masalah sekecil ini.
‘‘Saya berasa dukacita kerana masalah ini boleh diselesaikan dengan mudah
tetapi ia tidak berlaku,’’ katanya.
Jika keadaan memaksa, beliau sendiri akan berjumpa dengan Menteri Besar
Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk meminta bantuan menamatkan
masalah penduduk di sini.
Dalam masa yang sama, beliau menyatakan komitmen akan bersama penduduk untuk
berjumpa dan menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertua MPS, Zainal Abidin
Azim. |