“Pegawai hanya datang jenguk”
– Penduduk
09/04/2008 Utusan Online
CHERAS 8 April – Penduduk apartmen Mutiara Court di Taman Bukit Permai dekat
sini berang dengan kelewatan pemaju dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)
menyelesaikan masalah tanah runtuh di kawasan perumahan itu.
Menurut mereka, banyak aduan telah dikemukakan tetapi tiada tindakan konkrit
diambil setakat ini.
Seorang penduduk, Chia Teck Yuen, 50, yang telah menetap di apartmen
tersebut sejak 11 tahun lalu, mengakui kelewatan kedua-dua pihak itu dalam
mengambil tindakan.
“Memang ada juga pegawai daripada agensi kerajaan berkaitan datang menjenguk
keadaan yang merisaukan penduduk di sini, namun tiada pula tindakan diambil,
seolah-olah kejadian itu satu perkara yang kecil.
“Jadi, penduduk di sini merayu agar mereka dapat melakukan pemeriksaan ke
atas struktur bukit ini dan mengesahkan tahap keselamatan apartmen ini untuk
diduduki,’’ katanya.
Tambahnya, setiap kali hujan, penduduk pasti bimbang dan terpaksa berwaspada
bagi menghadapi segala kemungkinan yang mungkin berlaku.
Jelasnya, walaupun kejadian tanah runtuh di kawasan tersebut belum pernah
meragut nyawa sesiapa, namun ia perlu diambil serius kerana kebarangkalian
untuk kejadian lebih buruk berlaku tetap ada.
“Kita khuatir keadaan akan bertambah serius dan ia pastinya mengancam
keselamatan penghuni yang tinggal di sini memandangkan kawasan ini adalah
kawasan lereng bukit.
“Saya amat berharap, pihak yang berkenaan dapat mengambil tindakan segera
bagi menghalang sebarang insiden buruk berlaku kelak apatah lagi sekarang
adalah musim hujan,’’ jelasnya.
Sementara itu, Zulizuari Abd. Karim, 30, berkata, perubahan pada struktur
bukit itu dikesan penduduk sejak beberapa tahun lalu dan kini dilihat
semakin mengancam keselamatan penghuni yang tinggal di kawasan itu.
Katanya, apabila hujan lebat, ada bahagian bukit berkenaan yang runtuh dan
tanahnya menggelunsur jatuh ke bawah memandangkan sebahagian daripada bukit
tersebut adalah batu kapur.
“Ekoran itu, penduduk sering merasa bimbang terutamanya pada waktu malam dan
selepas hujan kerana runtuhan sering berlaku pada waktu itu.
“Pernah juga kenderaan penduduk terkena serpihan batu-batu tersebut dan
menyebabkan tingkap kereta mereka pecah,’’ ujarnya.
Sehubungan itu, Zulizuari berharap MPAJ dan kerajaan negeri dapat mengadakan
perbincangan dengan pemaju bagi mengatasi masalah tersebut.
Jelasnya, memandangkan apartmen itu diduduki lebih 300 buah keluarga,
tindakan yang segera dan meyakinkan adalah perlu.
“Kita tidak mahu peristiwa ngeri tragedi tanah runtuh kondominium 12 tingkat
Highland Towers berulang lagi.
“Justeru itu, saya amat berharap pihak-pihak yang berkenaan dapat
‘menyelamatkan’ penduduk di sini sebelum sebarang tragedi seperti sebelum
ini berulang,’’ katanya.
|