MPAJ tunggu laporan Ikram
10/04/2008 Utusan Online
KUALA LUMPUR 9 April - Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan memastikan
tindakan segera diambil bagi mengatasi masalah kejadian tanah runtuh yang
berlaku di Apartmen Mutiara Court, Taman Bukit Permai, Cheras Baru di sini.
Setiausahanya, Abdul Hamid Hussin berkata, tindakan tersebut akan diambil
selepas mendapat maklum balas serta keputusan kajian daripada Institut
Kerjaraya Malaysia (Ikram) serta Jabatan Mineral dan Geosains dalam masa
terdekat ini.
Menurutnya, kajian tersebut akan dilaksanakan dengan teliti supaya usaha
mengatasi masalah itu memberi impak yang berkesan dan berupaya mengelaknya
daripada berulang kerana ia melibatkan struktur tanah.
"Setakat ini, Majlis (MPAJ) masih menunggu keputusan muktamad daripada
kedua-dua pihak tersebut bagi membolehkan sebarang tindakan dijalankan.
"Ini kerana, kita bimbang sekiranya tindakan diambil tidak mengikut
keputusan kajian tersebut akan menyebabkan kejadian tersebut berulang.
"Bagaimanapun, kerja-kerja pembersihan serpihan-serpihan batu tersebut telah
dilakukan selepas kejadian tanah runtuh tersebut berlaku baru-baru ini,''
katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian tanah runtuh yang
mengancam penduduk Apartmen Mutiara Court, Taman Bukit Permai di sini sejak
beberapa tahun yang lalu.
Penduduk mendakwa, kejadian tanah runtuh sering berlaku di kawasan tersebut
terutamanya pada musim hujan.
Dakwa penduduk lagi, masalah itu semakin membimbangkan kerana selang tiga
minggu selepas kejadian tanah runtuh di jalan utama apartmen tersebut, satu
lagi kejadian tanah runtuh berlaku di dalam kawasan apartmen berkenaan.
Ujar Abdul Hamid, sekiranya tanah runtuh tersebut berlaku di dalam kawasan
apartmen, pihak pemaju seharusnya bertanggungjawab mengatasi masalah
berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, MPAJ akan turut sama membantu untuk memastikan
tindakan yang akan diambil adalah mengikut nasihat Jabatan Mineral dan
Geosains serta Ikram bagi menjamin kejadian tanah runtuh tersebut tidak
berulang lagi.
Selain itu, kata beliau, MPAJ juga akan mengarahkan pegawainya membuat
pemantauan di kawasan tersebut sementara menunggu keputusan dikeluarkan oleh
kedua-dua jabatan itu dalam masa terdekat ini.
|