This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Longkang tidak sempurna punca 5 rumah roboh
30/04/2008 Utusan Online Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN

TIDAK HABIS... Longkang yang tidak dibina dengan sempurna ini dikatakan punca tanah di situ mendap lalu menyebabkan tanah dan lima buah rumah di Taman Bukit, Kajang runtuh minggu lalu.

KAJANG 29 April - Kerja pembaikan longkang yang tidak sempurna di bahagian belakang rumah di Taman Bukit Kajang di sini dipercayai menjadi punca lima buah rumah di taman perumahan itu runtuh, baru-baru ini.

Penduduk mendakwa longkang yang dibina oleh kontraktor yang dilantik oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dua tahun lepas itu tidak dibuat sehingga ke longkang besar, parit atau sungai.

Sebaliknya, longkang itu dibuat separuh jalan menyebabkan air yang mengalir akan meresap ke dalam tanah apabila sampai di penghujung longkang itu, yang akhirnya mengakibatkan tanah di situ lembut dan mendap.

Akhirnya, tanah yang lembut itu tidak mampu menahan berat bangunan tambahan yang dibuat oleh penduduk dan ia runtuh pada minggu lalu.

Kesemua lima buah rumah yang runtuh dalam kejadian itu terletak di hujung saluran longkang itu.

Tinjauan Utusan Malaysia di tempat kejadian mendapati tembok yang dibina di kawasan terbabit sudah retak dan terdapat tanah yang keluar melalui lubang saluran air.

Salah seorang penduduk, Jamal Mohd. Ibrahim, 36, berkata, jumlah sebenar rumah yang terjejas ekoran runtuhan tanah itu ialah tujuh buah rumah setakat ini.

"Kesemua tujuh keluarga terbabit telah diarahkan berpindah ke penempatan sementara di Kajang Sentral sehingga kerja-kerja pembaikan siap dilakukan oleh pihak pemaju,'' katanya.

Dia juga mengakui saluran longkang yang tidak diselenggara dengan baik oleh MPKj sebelum ini menjadi punca mendapan tanah.

"Penduduk sudah risau sejak sekian lama apabila melihatkan saluran longkang di sini cukup teruk dan akhirnya kerisauan it bertukar tragedi apabila rumah kami menjadi mangsa runtuhan tanah,'' katanya.

Dia memberitahu, sebelum kejadian itu, berlaku kejadian yang hampir sama melibatkan dua buah rumah yang terletak berdekatan kira-kira dua tahun lalu.

"Namun, pihak MPKj dan pemaju telah memperbaiki tempat berlaku mendapan itu dengan membina benteng konkrit yang lebih kukuh bagi menampung rumah tersebut,'' katanya.

Katanya, tidak mustahil kejadian yang sama akan berlaku lagi pada masa akan datang jika pihak berkuasa khususnya MPKj gagal mengenal pasti punca sebenar kejadian minggu lalu.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, S. Muniama, 50, memberitahu, keluarganya masih berada di dalam keadaan trauma ekoran kejadian yang berlaku itu.

"Kami sekeluarga tidak dapat tidur malam semenjak beberapa hari yang lepas dan gusar memikirkan tebing rumah yang mendap serta menunggu masa untuk runtuh,'' katanya.

Dia turut menyalahkan faktor longkang yang tidak dibuat dengan sempurna sebagai punca tanah di situ mendap dan runtuh manakala tembok yang dibina juga diperkukuhkan dengan cerucuk besi

"Gabungan simen dan batu sahaja tidak cukup kukuh apatah lagi tanah di situ sentiasa terdedah kepada aliran air," katanya.

Penduduk yang ditemui juga merungut serta kecewa dengan sikap MPKj kerana tidak turun padang untuk memantau perkembangan berlaku di situ.

Kebanyakan mereka mengakui MPKj lambat mengambil tindakan dan yang menjadi mangsa ialah penduduk.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.