Kerjasama dengan JMB jamin
bangunan terurus
21/04/2008 Utusan Online
KAJANG 20 April - Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) meminta pembeli dan
pemaju memberikan kerjasama kepada Perbadanan Pengurusan Bersama (JMB) yang
dilantik bagi memastikan bangunan yang diduduki terurus.
Yang DiPertuanya, Datuk Hasan Nawawi Abd. Rahman berkata, ini sejajar dengan
arahan supaya setiap bangunan kediaman dan komersial melantik JMB
masing-masing bagi membolehkan mereka menyenggara dan menguruskan bangunan
dan harta bersama.
Menurutnya, JMB yang dilantik dengan persetujuan pembeli dan pemaju akan
mempunyai bidang kuasa tertentu dalam menguruskan bangunan tersebut seperti
yang termaktub di bawah Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan
Pengurusan Bangunan) 2007 atau Akta 663.
Ujarnya, selepas pelantikan itu, segala masalah yang melibatkan pengurusan
akan dipertanggungjawabkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMC) untuk
mengendalikannya.
"Pelantikan JMC ini hanya melibatkan pemilik kediaman dan bukannya penyewa
serta kediaman yang mempunyai hak strata sahaja.
"Sekiranya selepas ini penghuni tidak mahu bekerjasama untuk menjelaskan kos
penyenggaraan, mereka boleh dikenakan tindakan.
"Jika penghuni gagal menjelaskan tunggakan selama enam bulan bagi kos
penyelenggaraan, kediaman mereka akan dilelong,'' katanya kepada pemberita
selepas menyerahkan sijil pelantikan JMB kepada 10 wakil penduduk.
Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MPKj, Abdullah Marjunid dan Ketua Unit
Pesuruhjaya Bangunan (COB), Bibi Khairani Mohamed Sabri.
|