Kerajaan pinda akta kurangkan
masalah pembinaan
06/04/2008 Berita Harian
KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan sudah berjaya mengurangkan
masalah projek rumah terbengkalai sejak kementerian itu meminda Akta Pemaju
Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 dan peraturan berkaitannya pada
Disember 2002.
Ia terbukti dengan hanya dua kes projek terbengkalai dicatatkan sejak 2002
berbanding 268 kes dari 1990 hingga November 2002, sekali gus membuktikan
langkah drastik kementerian meminda beberapa peraturan dalam akta berkaitan
berjaya memberi kesan positif dalam usaha membela nasib pembeli rumah.
Ketua Setiausaha kementerian berkenan, Datuk Ahmad Fuad Ismail, berkata
meskipun pindaan itu dilihat berjaya mengurangkan masalah pembinaan rumah
terbengkalai, kementerian terus optimis mencari jalan terbaik menangani
pelbagai isu membabitkan pemaju perumahan dengan sekali lagi meminda akta
yang sama pada April 2007.
Katanya, dengan pindaan terbaru itu yang berkuatkuasa pada 12 April 2007,
kementerian memiliki lebih banyak kuasa untuk mendakwa pemaju atas pelbagai
sebab selain memberi lebih banyak ruang kepada pembeli menggunakan hak
mereka.
“Meskipun akta itu sudah dipinda tahun lalu, pelaksanaannya tidak begitu
menyeluruh kerana kementerian tidak mempunyai kakitangan serta pegawai
profesional yang mampu melaksanakan peranan pemantauan serta membuat
pendakwaan.
“Namun, selepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan kemasukan
beberapa pegawai baru termasuk akauntan bertauliah, kementerian kini sudah
cukup bersedia untuk menggunakan sepenuhnya kuasa yang ada bagi mendakwa
mereka yang bersalah.
“Anggaplah ini amaran keras daripada kami (kementerian) kepada pemaju. Jika
sebelum ini, banyak yang terlepas daripada pendakwaan, bermula bulan ini,
kementerian akan bertindak agresif mencari segala kesilapan mereka dan
mendakwa mereka jika terbukti bersalah,” katanya.
Antara perubahan ketara dalam pindaan terbaru itu ialah meningkatkan kadar
tuntutan Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) daripada RM25,000 kepada
RM50,000 serta memberi hak kepada pembeli untuk menamatkan perjanjian
pembelian jika projek belum dimulakan selepas enam bulan perjanjian jual
beli ditandatangani.
Selain itu, pindaan terbabit juga membolehkan pengawal perumahan mempunyai
kuasa sepenuhnya membekukan akaun pemaju perumahan jika terbukti mereka
tidak menjalankan tanggungjawab sebagai pemaju atau menggunakan sumber untuk
tujuan lain.
Ahmad berkata, jika sebelum ini terlalu banyak proses untuk membolehkan
pegawai kementerian memeriksa akaun pemaju, kini akauntan kementerian
berkuasa terus meminta bank menyerahkan penyata akaun pemaju untuk diperiksa.
“Bukan itu saja, kementerian juga akan mendakwa semua pihak termasuk pemaju,
arkitek atau jurutera dan bank jika didapati berlaku penipuan dalam laporan
yang mesti diserahkan kepada kementerian setiap enam bulan sekali sepanjang
proses pembinaan.
“Contohnya, jika dalam borang 7F dinyatakan projek itu sudah mencapai tahap
40 peratus, namun apabila profesional dari kementerian membuat pemeriksaan
dan mendapati ia tidak benar, pemaju dan arkiteknya akan didakwa. Bank juga
akan didakwa jika menyalurkan pembiayaan berdasarkan laporan palsu itu.
“Jika sabit kesalahan, semua pihak terbabit boleh dikenakan penalti minimum
RM10,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau
kedua-duanya sekali. Apabila ada yang dipenjarakan, barulah pemaju lain
tidak berani nak buat hal lagi,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui semua pelaksanaan itu belum cukup untuk
menjamin pembelaan terhadap nasib pembeli yang menghadapi masalah projek
perumahan tertunggak.
Justeru, katanya, kementerian sedang mengkaji kemungkinan mengemukakan
cadangan kepada Kabinet untuk menubuhkan satu badan khas dikenali sebagai
Perbadanan Perumahan Negara serta berperanan seperti kewujudan Danaharta
satu ketika dulu untuk mengambil alih segera projek perumahan terbengkalai.
“Kementerian sedang meneliti kemungkinan penubuhan badan itu, lantaran
ketika ini terlalu banyak kekangan dalam mengambil alih projek terbengkalai
kerana membabitkan pelbagai pihak terutama institusi kewangan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi TTPR, Hamdan Indah, berkata ramai pembeli tersalah
anggap fungsi badan itu dalam menyelesaikan masalah membabitkan projek
perumahan kerana kebanyakan aduan yang diterimanya berkisar mengenai kes
projek terbengkalai.
“Sebenarnya, bidang kuasa kami amat terhad. Kami hanya berperanan
menyelesaikan kes kelewatan penyerahan rumah serta pembinaan yang tidak
mengikut spesifikasi, itupun selepas kunci rumah diserahkan kepada pembeli.
“Selagi pembeli tak dapat kunci, kes tak boleh dimulakan. Jadi, kes rumah
terbengkalai bukan dalam bidang kuasa kami. Memang ia sangat rumit dan
sehingga kini, susah nak cari jalan penyelesaian,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut, katanya, setakat hari ini kebanyakan kes yang
berkaitan dengan bidang kuasa TTPR berjaya diselesaikan dalam masa dua bulan
daripada tarikh aduan dibuat, namun badan itu tidak memberi jaminan
memastikan pemaju membayar jumlah ganjaran kerana kegagalan membuat
pembayaran akan dikendalikan pula oleh Bahagian Penguatkuasaan kementerian.
Katanya, kewujudan tribunal juga kurang mendapat perhatian kerana sebelum
ini ia hanya beroperasi di Kuala Lumpur tetapi sejak tahun ini beberapa
cawangan baru sudah dibuka iaitu di Seberang Jaya, Pulau Pinang; Johor Bharu
dan Kuala Terengganu untuk memperluaskan lagi perkhidmatan TTPR ke seluruh
Semenanjung Malaysia. |