8,000 unit rumah di Johor
tidak laku
25/04/2008 Utusan Online Oleh Maznah Mohd. Arsad
JOHOR BAHRU 24 April - Sebanyak 8,000 unit rumah bernilai kira-kira RM1
bilion di negeri ini yang telah siap dibina sejak lima tahun lalu tidak laku
dijual.
Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Johor, Steven Shum
berkata, punca rumah itu tidak terjual terbahagi kepada beberapa faktor
antaranya kerana kurang mendapat sambutan daripada pembeli bumiputera.
Faktor lain pula katanya, ialah lokasi kurang strategik manakala bakinya
ialah kurang minat daripada para pembeli lain.
"Kerajaan negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan diminta
memberikan perhatian sewajarnya terhadap masalah itu.
"Sebagai contoh, soal rumah milik bumiputera, kerajaan dicadangkan agar
melonggarkan beberapa syarat bagi membolehkan rumah tersebut dijual,"
katanya pada sidang akhbar sempena Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2008 di
City Square di sini hari ini.
Mengenai ekspo itu, Steven berkata, ia adalah sambutan tahun ke-10 bagi
mempamerkan model rumah dari pelbagai jenis dan kategori yang kesemuanya
bernilai RM2.1 bilion.
Menurutnya, ekspo tersebut memberi peluang kepada para pemaju untuk
mempamerkan produk hartanah masing-masing.
Pada waktu yang sama, orang ramai boleh menilai serta membuat pemilihan
sebelum membeli rumah yang dirasakan sesuai untuk mereka.
Beliau memberitahu, pihaknya menjangkakan ekspo kali ini mampu menjual rumah
yang nilainya sekitar RM100 juta.
"Sasaran kita bukan sahaja pelanggan domestik malah pelanggan asing yang
terdiri daripada ahli perniagaan dan juga profesional dari Singapura, India,
negara-negara Timur Tengah, Vietnam dan Sri Lanka," katanya. |