This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Sudah puas kami mengadu – Penduduk
19/03/2008 Utusan Malaysia Oleh Siti Airunnisa Alaui

PANDAN PERDANA 18 Mac - Isu rumah terbengkalai, kediaman tidak selesa dan masalah kekurangan kemudahan awam di perumahan kos rendah dan projek perumahan rakyat sering kali disiarkan di media massa.

Lebih memburukkan keadaan, pemaju sudah diisytiharkan bankrap manakala pihak berkuasa tempatan (PBT) awal- awal lagi sudah memaklumkan ia di luar bidang kuasa mereka.

Begitulah situasi yang terpaksa dihadapi oleh penduduk Flat 700 di Pandan Perdana di sini.

Penduduk yang ditemui meluahkan rasa kesal kerana rintihan mereka tidak didengari malah tidak dipedulikan langsung oleh pihak yang bertanggungjawab.

Seorang penduduk, Osman Karimbakh, 50, berkata, dia amat sedih kerana sejak 10 tahun lalu kerosakan kemudahan awam di flat tersebut tidak pernah dibaiki dengan sempurna.

Menurutnya, telah puas dia berjumpa dengan pihak pemaju dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk menyelesaikan masalah tersebut, namun masih belum berjaya.

“Saya sudah letih menulis surat untuk memohon segala kemudahan di sini namun tiada sebarang tindakan diambil sehinggakan penduduk bermasam muka kerana mendakwa persatuan penduduk tidak membuat kerja.

“Jadi, saya rasa sudah tiba masanya kerajaan negeri mengambil alih tugas ini kerana kami tidak mampu lagi untuk menyelesaikannya.

“Lagipun, dengan kuasa yang kerajaan ada, mereka mampu untuk membantu mengatasi masalah ini,’’ katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Seorang lagi penduduk, Paramesevan a/l Gengan, 38, mengakui masalah itu hanya akan dapat diselesaikan menerusi kerjasama semua pihak termasuk kerajaan negeri, pemaju, MPAJ dan penduduk.

“Saya akui sebahagian masalah ini berlaku akibat daripada sikap tidak bertanggungjawab penduduk bagaimanapun ia bukannya 100 peratus salah penduduk.

“Ini kerana, kesemua lif mulai rosak hanya selepas lima bulan kami mendiami flat ini dan dipercayai akibat tindakan pemaju menggunakan lif tersebut untuk mengangkat bahan binaan yang berat semasa pembinaan,” katanya.

Dia amat berharap masalah itu dapat diselesaikan dan membolehkan penduduk menarik nafas lega dan dapat hidup dengan lebih suasana yang lebih baik.

Bagi Pengerusi Persatuan Penduduk Flat 700, Mohamed Nor Taharim, 56, semua agensi kerajaan yang terlibat termasuk Jabatan Bomba dan Jabatan Imigresen perlu turun padang bagi melihat sendiri kedaifan flat tersebut.

“Saya percaya sekiranya mereka datang melawat flat ini, mereka lebih mudah memahami masalah dan menyelesaikannya.

“Saya amat berharap kerajaan negeri dapat membantu kami yang telah sengsara sejak 10 tahun ini,’’ jelasnya sayu.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.