This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Rumah tak siap 6 tahun
28/03/2008 Berita Harian Oleh Jaafar Mulup

Pembeli terpaksa tanggung beban pinjaman bank minta BPR siasat projek terbengkalai

TAMPIN: Pertemuan demi pertemuan sudah diadakan dengan pihak bertanggungjawab, pelbagai saluran juga digunakan untuk menyuarakan masalah dihadapi, tetapi nasib lebih 600 pembeli projek perumahan terbengkalai di Bandar Utama Tampin, di sini masih tidak nampak jalan penyelesaiannya.

Kini, mereka hanya mampu berharap campur tangan kerajaan melalui Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang baru, Datuk Ong Ka Chuan agar kemelut yang dihadapi sejak lebih enam tahun lalu itu dapat diselesaikan secepat mungkin.

Projek perumahan di kawasan 60 hektar di Mukim Repah itu, dimajukan sebuah syarikat beribu pejabat di Kuala Lumpur dengan pelancaran disempurnakan pada Mei 2000 sebelum dijangka siap pada Februari dua tahun kemudian.

Namun, enam tahun menunggu, 612 pembeli yang kebanyakannya kakitangan awam dan swasta masih tidak dapat berpindah ke rumah baru dan terpaksa menanggung beban kewangan membayar ansuran pinjaman bank serta sewa rumah yang didiami sekarang.

Pembeli, Kek Kuang Yeow, 43, berkata mereka sudah menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi mencari jalan menyelesaikan masalah berkenaan dan sebelum ini beberapa kali mengadakan pertemuan dengan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Repah, Datuk Gary Gan Chin Yap.

"Kami juga membangkitkan masalah ini kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin (MDT), Datuk Mohd Yusof Yunus, tetapi pada perjumpaan itu tiada wakil pemaju hadir, sekali gus gagal mencari jalan penyelesaian. Malah, hasil perjumpaan dengan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting juga buntu.

"Apa yang amat mendukacitakan, projek perumahan ini difahamkan sudah bertukar tangan apabila pemaju lama menjualnya kepada syarikat pemaju yang lain. Kami tidak tahu apakah nasib kami sekarang," katanya.

Bekas kakitangan Telekom Malaysia (TM), Basir Ahmad, 53, berkata beliau membeli unit kediaman di kawasan perumahan itu kerana lokasinya yang strategik dengan hasrat dapat mendiami kediaman sendiri selepas bersara.

"Bagaimanapun, hasrat itu belum tertunai malah, saya terpaksa terus menyewa rumah dengan bayaran RM200 sebulan. Ia membebankan kerana selain membayar sewa rumah, saya juga terpaksa membayar ansuran pinjaman bank RM600 sebulan," katanya.

Beliau yang bersara pilihan pada Oktober tahun lalu, berkata dengan pencen RM800 sebulan diterimanya kini, kehidupannya sekeluarga begitu terhimpit dengan beban kewangan, sedangkan pemaju sudah menerima sebahagian bayaran daripada bank.

Guru, Ramli Tambi, 48, pula berkata, projek perumahan terbengkalai itu menyebabkan beliau terpaksa menebalkan muka menumpang di rumah ibu mentua kerana tidak mampu menyewa rumah.

"Sudahlah gaji kecil, RM450 daripadanya ditolak terus dari gaji bulanan untuk bayaran balik pinjaman kerajaan yang dibuat bagi membeli rumah di tapak projek berkenaan," katanya.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 45, berkata beban kewangan akibat projek terbengkalai itu menyebabkan beliau gagal membayar ansuran pinjaman bank untuk pembelian rumah berkenaan selama beberapa bulan.

"Memang saya kini amat terdesak kerana bank sudah mengeluarkan saman menuntut supaya menjelaskan ansuran bulanan yang tertunggak lapan bulan. Bagaimana nak bayar pinjaman bank sedangkan rumah tak siap dan saya terpaksa menyewa dengan bayaran RM350 sebulan," katanya.

Sementara itu, beberapa pembeli meminta Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat projek terbabit kerana Bahagian Pinjaman Perumahan sudah melunaskan semua bayaran kepada pemaju bagi kediaman yang dibeli kakitangan awam.

"Kami difahamkan, kerajaan sudah pun menjelaskan pembayaran, tetapi mengapa rumah masih tak siap selepas enam tahun dengan bebannya dialihkan kepada pembeli yang kebanyakannya adalah rakyat berpendapatan sederhana," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.