This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Projek terbengkalai dibincang
28/03/2008 Berita Harian Oleh Azida Shaharuddin

Shahrir janji kemuka masalah Pacific Mall kepada jawatankuasa khas

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad berjanji akan mengetengahkan masalah bangunan terbengkalai khususnya Pacific Mall di tengah bandar raya ini kepada pihak berkuasa secepat mungkin.

Katanya, tiga masalah utama yang diutarakan Jawatankuasa Pembeli Pacific Mall akan dikemukakan kepada sebuah jawatankuasa khas yang diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok.

Shahrir berkata, masalah pertama adalah membabitkan perlindungan kepada pembeli harta komersial.

"Jika anda membeli rumah tetapi ia tidak siap, anda akan dapat pampasan. Bagaimana pula kepada pembeli kompleks beli-belah.

"Masalah kedua pula dari segi isu keselamatan terhadap bangunan terbengkalai seperti peralatan dan perkakas bangunan yang dicuri. Masalah ini akan dikemukakan kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan pihak berkuasa lain," katanya ketika meninjau bangunan berkenaan, di sini, kelmarin.

Shahrir berkata, masalah ketiga iaitu antara OCBC Bank (Malaysia) Bhd selaku bank yang menawarkan pinjaman kepada pembeli juga akan diselesaikan menerusi satu rundingan bersama yang akan dijalankan tidak lama lagi.

Pacific Mall adalah projek pembangunan komersial bernilai RM300 juta setinggi 24 tingkat dan dilengkapi pejabat, kedai serta tempat letak kereta dan sepatutnya siap sepenuhnya pada 2000.

Projek pembinaan bangunan pada 1995 itu dibangunkan Tetap Meriah Sdn Bhd dan dibiayai OCBC Bank dengan kebanyakan kedai serta bangunan pejabatnya dijual kepada pembeli tempatan dan luar negara termasuk Hong Kong dan Singapura.

Pengerusi Jawatankuasa Pembeli Pacific Mall, Tan Beng Hoi, berkata masalah itu sudah berlarutan hampir 13 tahun dan perlu diselesaikan segera kerana lokasi bangunan yang terletak di laluan utama ke pusat bandar selain Singapura.

"Kerajaan Pusat perlu memulihkan projek ini dan membersihkan semula imej negara kerana ia menjadi bangunan pertama dilihat pelancong yang memasuki bandar ini menerusi Tambak Johor.

"Amat memalukan melihat sebuah bangunan tinggi terbengkalai di tengah-tengah Bandar Raya Johor Bahru ini, dengan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), bangunan Pacific Mall yang terbengkalai ini seperti satu kecacatan," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.