Penghuni mahu tindakan segera
diambil
17/03/2008 Utusan Online
PUTRAJAYA 16 Mac - Penduduk Pangsapuri Mampu Milik Putra Damai di Presint 11
di sini mahu tindakan segera dan pemulihan kekal diambil terhadap kejadian
banjir lumpur di kawasan itu agar ia tidak berulang.
Mereka berkata, satu langkah pemulihan jangka masa panjang perlu
dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya dan kerajaan Selangor
bagi mengatasi masalah itu.
Punca utama kejadian banjir lumpur itu juga perlu dicari segera memandangkan
ia mungkin menyebabkan masalah lain timbul dan akan meningkatkan kos membaik
pulih.
Seorang penduduk, Mohd. Halimi Hassan, 36, berkata, pihak berkuasa harus
memandang serius perkara itu memandangkan sudah empat kali kawasan itu
dilanda banjir lumpur.
"Kami harap pihak berkuasa dapat menyelesaikan masalah kami ini dengan
segera dan memikirkan satu kaedah bagi mengelakkan banjir lumpur berulang.
"Kami tidak mahu perkara-perkara sebegini mencacatkan persekitaran dan nama
baik Putrajaya sebagai sebuah bandar pentadbiran kerajaan yang disegani,"
katanya.
Seorang lagi penduduk yang ditemui, Khairul Riza Mohd. Laki, 35, berkata,
beliau berasa bimbang dengan keselamatan anak-anak penduduk di sini sewaktu
hujan lebat kerana bumbung pangsapuri itu yang mudah dicabut jika hujan
lebat dan angin kencang.
"Kejadian bumbung tercabut sudah banyak kali berlaku dan hampir terkena
penduduk.
"Walaupun ia belum lagi menyebabkan sesiapa tercedera, namun ia cukup
membahayakan penduduk terutama kanak-kanak dan langkah bagi mengelak
kecederaan perlu diambil," jelasnya.
Dalam pada itu, Wan Muhd. Zarimi Wan Ali, 33, berkata, pangsapuri ini
sepatutnya diselenggara dengan baik terlebih dahulu sebelum diserahkan
kepada penduduk.
Katanya, banyak lagi kemudahan penting masih belum terdapat di kawasan itu
seperti perhentian bas, klinik kesihatan, pasar raya dan sebagainya bagi
menampung jumlah penduduk yang hampir mencecah 2,000 orang.
"Presint 11 merupakan presint terbesar di kawasan Putrajaya dan sepatutnya
setiap kawasan pangsapuri perlu dilengkapi kemudahan penting.
"Faktor keselamatan juga perlu dititikberatkan seperti soal kebakaran,
kecurian dan kemalangan jalan raya kerana banyak jalan-jalan di sini sudah
rosak akibat banjir," katanya.
Penduduk-penduduk di sini juga merayu agar sijil layak menduduki (CF)
sementara yang sudah tamat tempoh lebih setahun itu diambil perhatian oleh
pihak berkuasa dan pemaju.
Katanya, tanpa sijil itu, mereka tidak dapat hendak mempercepatkan penubuhan
satu jawatankuasa penduduk untuk menjaga kepentingan semua penduduk.
Mereka juga mahu agar wakil rakyat di situ sering meninjau masalah penduduk
agar mereka tidak terasa diabaikan dan dapat bersama-sama membantu memajukan
kawasan itu.
|