This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Penduduk terkejut dikenakan cagaran tambahan
26/03/2008 Utusan Malaysia Oleh Muhammad Dayne Azmin

KLANG 25 Mac – Sebahagian penduduk Bandar Putera di sini terkejut apabila menerima bil elektrik yang meminta mereka membayar cagaran tambah-an sehingga mencecah ribuan ringgit baru- baru ini.

Apa yang menghairankan penduduk ialah jumlah yang dikenakan berbeza-beza antara penduduk sedangkan rumah mereka adalah dari jenis yang sama iaitu teres dua tingkat dan berada di kawasan yang sama.

Berdasarkan bil yang diterima penduduk, ada di antara mereka yang dikenakan sehingga RM1,900 dan ada pula yang tidak dikenakan sebarang cagaran tambahan.

Mereka mempersoalkan kadar yang tidak selaras itu, selain terlalu tinggi bagi premis kediaman.

Seorang penduduk, Roszaimah Abdul Aziz, 35, yang dikenakan cagaran tambahan sehingga RM1,260 berkata, dia terkejut apabila mendapat bil tersebut beberapa hari lalu.

Dia yang merupakan suri rumah sepenuh masa akan mengambil sikap tunggu dan lihat dan tidak akan membayar cagaran tambahan itu selagi belum mendapat penjelasan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Sementara itu, Hasbullah Daud, 34, yang menerima bil bulanan yang meminta cagaran tambahan sebanyak RM740 berharap kekeliruan tersebut dapat dileraikan oleh TNB.

Katanya, semua penduduk sudah membayar kepada pihak pemaju cagaran yang diminta berjumlah RM250 dan tidak sewajarnya dikenakan cagaran tambahan.

“Kami baru tiga bulan duduk di sini dan tidak ada pun bil tertunggak. Bil kami juga tidak tinggi. Mengapa perlu kami membayar cagaran tambahan yang tinggi,” soalnya.

Katanya, jumlah yang dikenakan itu juga tidak munasabah kerana premis mereka adalah premis kediaman dan bukannya kilang.

“Kami tidak menerima sebarang notis daripada TNB tentang cagaran tambahan itu kecuali menerusi bil bulan ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Zuraida Ab.Talib, 29, yang dikenakan sebanyak RM1,900 berkata, TNB perlu memperjelaskan secara terperinci cagaran yang dimaksudkan.

“Kebiasaannya, cagaran yang dikenakan bagi sebuah sebuah rumah adalah sekitar RM300 sahaja tetapi kenapa rumah-rumah penduduk di sini dikenakan cagaran yang tinggi.

“Kami tidak mampu membayar sebanyak itu. Walaupun ia dinamakan cagaran tetapi kami tidak mungkin akan dapat semula duit itu kecuali kami memotong bekalan elektrik,” ujarnya.

Dia dan penduduk lain yang menduduki rumah di situ semenjak Disember tahun lepas berharap bil itu satu kesilapan dan mereka semua tidak perlu membayar cagaran tambahan berkenaan.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.