This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

4,000 penghuni Larkin Perdana lega dapat CF
08/03/2008 Utusan Malaysia Oleh Khadijah Ibrahim

ABDUL Ghani Othman (tengah) menyampaikan Sijil Layak Menduduki (CF) kepada dua wakil penduduk sambil diperhatikan oleh Shahrir Abdul Samad (kanan) pada majlis ramah mesra bersama penduduk Larkin di Johor Bahru, kelmarin.

JOHOR BAHRU 7 Mac – Hampir 4,000 pengundi yang mendiami enam blok di kawasan rumah kos rendah Larkin Perdana di sini hari ini menarik nafas lega apabila kerajaan negeri berjanji akan memberi Sijil Layak Menduduki (CF) bagi rumah mereka.

Keputusan menggembirakan tersebut dibuat setelah Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) melakukan tinjauan ke atas perumahan tersebut dan mendapati sijil itu wajar dikeluarkan segera.

Beliau berkata, kelewatan sijil itu dikeluarkan sebelum ini adalah berpunca daripada kegagalan syarikat pemaju memenuhi syarat yang ditetapkan kerajaan.

Abdul Ghani berkata, CF tersebut perlu dikeluarkan segera kerana kawasan tersebut terletak dalam Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).

“Selaku Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), saya ingin maklumkan bahawa masalah penduduk di kawasan perumahan tersebut sudah selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis ramah mesra bersama penduduk Larkin di Dewan Raya Kampung Datuk Onn Jaafar di sini semalam.

Turut hadir calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad yang juga penyandang kerusi tersebut.

Abdul Ghani juga berkata, jika ada rumah yang perlu ditambah baik ia akan dilakukan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12.

Selain menyelesaikan masalah CF, beliau turut berjanji akan mendirikan sebuah dewan orang ramai di Taman Datuk Onn yang sebelum ini tidak dapat dibina kerana memberi laluan kepada sebuah projek penswastaan.

“Tapak untuk membina dewan sudah ada dan kita juga telah mengenal pasti pemaju yang akan melaksanakan projek tersebut,” katanya.

Abdul Ghani berkata, kerajaan negeri telah meminta jurutera profesional untuk menyelesaikan setiap masalah penduduk kawasan berkaitan infrastruktur dan pembinaan di kawasan tersebut.

Beliau yang yakin Barisan Nasional (BN) akan terus menerajui pemerintahan negara ini berkata, segala masalah masyarakat setempat akan diselesaikan secepat mungkin.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.