This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

 

UDA Holdings pulih projek terbengkalai

27/02/2008 Utusan Malaysia


PULAU PINANG 26 Feb. – Lebih 60 pembeli dua projek perumahan yang terbengkalai di Seberang Perai sejak 2005, boleh menarik nafas lega apabila projek itu akan disambung semula pembinaan dalam suku kedua tahun ini.

Pengarah Urusan UDA Holdings, Datuk Jaafar Abu Hassan berkata, pembeli tidak akan dikenakan bayaran tambahan dan projek itu akan dipulihkan mengikut harga asal yang ditetapkan pemaju terdahulu.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara anak syarikat UDA, UDA Land (North) Sdn. Bhd. dan Syarikat Sri Jeluda Sdn. Bhd., anak syarikat Koperasi Serbaguna Jelutong Pulau Pinang (KSJPP) di sini hari ini, syarikat itu akan membelanjakan RM24 juta untuk memulihkan projek Taman Orkid Indah di Pongsu Seribu, Kepala Batas dan Mengkuang Heights, Mengkuang dalam tempoh 18 bulan.

“UDA akan mengadakan perbincangan dengan pembeli dan KSJPP dalam masa terdekat bagi membolehkan projek itu dilaksanakan secepat mungkin dan kita memberikan komitmen untuk menyambung pembinaan yang terhenti berikutan masalah dalaman pemaju itu,” katanya.

Projek Taman Orkid Indah melibatkan pembinaan 71 unit rumah banglo setingkat di kawasan seluas 4.6 hektar berharga antara RM199,000 dan RM268,000 manakala Mengkuang Heights pula mempunyai 61 unit banglo setingkat dan 19 unit banglo satu setengah tingkat berharga antara RM180,000 dan RM316,000.

Kedua-dua projek ini baru di peringkat mendirikan struktur bangunan dan mencapai kemajuan antara 25 peratus dan 65 peratus.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Pulau Pinang, Syed Amerruddin Syed Ahmad berkata, kesediaan UDA memulihkan kedua-dua projek itu melegakan kerajaan negeri dan juga pembeli.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha menyelesaikan projek terbengkalai di negeri ini bagi memastikan pembeli tidak menanggung masalah yang berpanjangan dengan mencari syarikat penyelamat yang boleh menyambung projek yang terbengkalai itu.

Bagaimanapun, katanya, ada sesetengah projek itu mengambil masa yang lama untuk dipulihkan kerana bersangkutan dengan prosiding mahkamah dan bank.

Pengerusi jawatankuasa bertindak pembeli projek perumahan Taman Orkid Indah dan Mengkuang Heights, Dr. Mohamad Rashidi Pakri menyambut baik langkah Uda untuk memulihkan projek itu dan menaruh kepercayaan bahawa agensi kerajaan itu mampu melakukannya berdasarkan rekod perkhidmatan yang baik selama ini.

– Bernama

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.