'Syukur rumah siap’
16/02/2008 Harian Metro Oleh Mohamad Hussin
KAJANG: “Syukur alhamdulillah, penantian kami selama 17 tahun untuk mendiami
rumah sendiri akhirnya termakbul, walaupun terpaksa menderita selama
beberapa tahun lalu.
“Kami sekeluarga berasa lega selepas kerajaan sedia membantu membina semula
projek ini...kalau tak kami tidak tahu bagaimana nasib kami,” kata Rafidah
Ismail, 51, antara 792 pembeli rumah Taman Kantan Permai di sini, yang
terbengkalai sejak 17 tahun lalu.
Beliau berkata, dia berterima kasih kepada kerajaan khususnya Syarikat
Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang menyiapkan rumah yang terbengkalai itu
serta tidak sabar untuk berpindah ke rumah baru tidak lama lagi.
“Saya dan suami, Abdul Malek Sharif, 57, serta anak-anak seronok dapat
tinggal di rumah sendiri dan tidak perlu menyewa rumah lagi,” katanya
selepas ditemui di Majlis Penyerahan Kunci Rumah Pemulihan Projek Perumahan
Terbengkalai taman berkenaan di sini, semalam.
Majlis penyerahan itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan,
Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Datuk Mohd Mokhtar Dahalan yang
mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.
Hadir sama, Pegawai Daerah Hulu Langat, Zainal Abidin Aala; Yang Dipertua
Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Datuk Hasan Nawawi Abd Rahman; Ketua Umno
Bahagian Hulu Langat, Datuk Ahamad Kuris Mohd Nor dan Pengarah SPNB, Datuk
Mohd Amin Mohd Salleh.
Mokhtar dalam sidang medianya berkata, SPNB membelanjakan RM17 juta untuk
meneruskan projek yang terbengkalai itu membabitkan 792 unit yang merangkumi
621 rumah teres dua tingkat kos rendah dan 171 rumah teres kos sederhana di
atas tanah seluas 40.612 hektar.
“Projek ini yang terbengkalai sejak 1992, mula dibaik pulih SPNB pada April
2005. Selepas dua tahun menjalankan kerja membaik pulih, akhirnya ia
disiapkan dan MPKj menganugerahkan Sijil Layak Menduduki (CF) untuk rumah
berkenaan pada 19 Disember tahun lalu.
“Kami mempunyai 11 projek terbengkalai merangkumi 3,376 rumah di Selangor
sudah dibaik pulih dan menerima CF manakala 23 projek lagi yang merangkumi
11,551 unit masih di peringkat kelulusan dan pelaksanaan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, 138 projek pelbagai kategori di negeri itu
masih terbengkalai sehingga Januari lalu membabitkan 36,562 unit kediaman,
komersial, industri dan pembesaran kampung.
“Daripada jumlah, 101 projek kediaman membabitkan 30,090 rumah, komersil 23
projek (2,208 unit), industri empat (682 unit) dan 10 projek pembesaran
kampung (3,582 unit),” katanya.
“Kami juga mendapatkan pemaju yang lebih besar untuk mengambil alih projek
terbengkalai seperti SPNB dan anak syarikat kerajaan negeri seperti
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) serta Permodalan Negeri Selangor
Berhad (PNSB).
Katanya, walaupun pelbagai bantuan diberikan, pihaknya lebih berhati-hati
kerana perlu mendapatkan persetujuan pembeli sebelum menyerahkan projek
terbengkalai kepada pemaju baru.
“Proses ini memerlukan perjanjian baru antara pemaju dengan pembeli.
Perjanjian baru ini mestilah tidak menjejaskan hak pembeli seperti yang
dipersetujui dalam Perjanjian Jual Beli (SNP) terdahulu,” katanya. |