This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pemaju wajib tubuh JMB sebelum 11 April
19/02/2008 Utusan Malaysia Oleh Siti Airunnisa Alaui

PANDAN PERDANA 18 Feb. - Semua pemaju rumah bertingkat di Selangor dikehendaki menubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) sebelum 11 April ini, kata Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Datin Paduka Alinah Ahmad.

Beliau berkata, penubuhan JMB penting kerana ia akan membolehkan pemaju dan pembeli bekerjasama dalam menyenggara dan mengurus bangunan dan harta bersama.

Menurutnya, JMB mempunyai tanggungjawab dan kuasa yang telah ditetapkan oleh undang-undang dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

"Penubuhan JMB adalah di bawah peruntukan Subseksyen 4(1) Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan Dan Pengurusan Bangunan) 2007.

"Akta ini merangkumi penyenggaraan dari aspek keselamatan, kebersihan, penggunaan harta benda bersama, penjagaan unit individu serta kerja-kerja penambahan dan pengubahsuaian,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Mesra Rakyat Bersama LPHS di Pangsapuri Pandan Perdana di sini semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Teratai, Yap Soo Sun.

Alinah seterusnya berkata, ahli-ahli JMB terdiri daripada pemaju dan pembeli rumah yang berperanan mewujudkan kawasan perumahan yang bersih dan harmoni.

Selain itu, katanya, mereka juga bertanggungjawab untuk menyenggara harta bersama dan menentukan caj yang dikenakan kepada pemilik rumah serta berkuasa mengutip caj tersebut.

Katanya, sekiranya pemaju tidak menubuhkan JMB atau mengadakan mesyuarat memilih jawatankuasa JMB, mereka boleh didakwa di mahkamah di bawah Subseksyen 5(5) akta tersebut.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

"Jika masalah tersebut berlaku, Pesuruhjaya Bangunan (COB) iaitu yang dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil alih tanggungjawab bersama pemilik untuk menyenggara kawasan kediaman serta melantik ejen pengurusan,'' jelasnya.

Pada majlis tersebut, beliau turut mengumumkan yang Pangsapuri Pandan Perdana akan dicat melalui peruntukan kerajaan negeri bagi menceriakan perumahan bertingkat di negeri Selangor.

"Keempat-empat blok pangsapuri ini akan dicat semula dan kerja-kerja pembersihan dinding akan dimulakan pada minggu depan. Saya harap selepas ini penduduk bersama-sama menjaga kebersihan dan keindahan pangsapuri ini demi keselesaan semua pihak,'' ujarnya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.